PETALING JAYA: Bakal berentap semula di pentas Gegar Vaganza All Stars, Naqiu tidak mahu terlalu memikirkan tentang persaingan sebaliknya memberi fokus kepada persembahan sendiri sahaja.
Jelasnya, dalam setiap pertandingan semestinya akan wujud pesaing-pesaing hebat tetapi jika seseorang itu terlalu memikirkan tentang peserta lain, dia akan hilang fokus dan boleh ‘tergelincir’ dari landasan.
“Saya bukan takut dengan peserta lain, tetapi diri sendiri. Kalau asyik fikir orang, saya tak masa nanti nak beri yang terbaik.
“Bukan berlagak tetapi mana-mana pertandingan pun ada pesaing hebat. Apa yang penting bagaimana saya memperbaiki setiap kelemahan dalam persembahan mingguan.
“Saya tahu ini bukan satu kerja mudah. Setiap peserta ada kekuatan dan strategi sendiri,” katanya.
Naqiu bakal bersaing dengan juara bersama ketika GV4, Hady Mirza selain juara-juara musim lain antaranya Siti Nordiana, Datuk Aishah, Noryn Aziz dan ramai lagi dalam GV All Stars.
Dalam pada itu, vokalis kumpulan Boboy itu juga mengakui dia mempertaruhkan reputasi dan sedar setiap apa yang berlaku sepanjang program berlangsung boleh memberi impak sama ada buruk atau baik kepada kariernya.
“Andai kata bukan rezeki saya untuk pertahan kejuaraan, mungkin itu sedikit sebanyak menjejaskan karier dan reputasi saya. Menang atau kalah, itu akan beri impak.
“Saya gamble sahaja. Tiada jalan mudah, kena usaha sebab saya dalam industri seni ini tak main-main. Ini punca pendapatan saya.
“Bila saya nekad kembali semua dalam dunia seni, saya nak buat betul-betul. GV adalah program yang telah menaikkan nama saya semua, saya perlu usaha lebih kali ini,” ujarnya.