PUTRAJAYA: “Saya sudah lihat gambar jenazah, biarlah saya simpan rahsia itu sepanjang hidup saya,” kata Suriani Muda, 43, isteri kepada arwah Sharipuddin Shaari, 53.
Suriani berkata, pihak hospital sudah menunjukkan gambar jenazah kepadanya dan dia tidak akan berkongsi perkara itu dengan sesiapa pun.
Suriana, 43, adalah isteri kepada pemandu e-hailing, Sharipuddin yang maut selepas keretanya dihempap pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, kelmarin.
Katanya, dia sekeluarga mengakui masih terkejut dengan insiden menimpa, malah sabar menunggu jenazah untuk dikebumikan.
Jelasnya lagi, dia sekeluarga memutuskan untuk mengebumikan arwah berdekatan dengan rumah di Taman Desa Vista iaitu di Tanah Perkuburan Islam Sultan Hishamuddin di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST).
Suriani berkata, ahli keluarga sepakat untuk tidak memilih pengebumian satu liang lahad di Shah Alam seperti disarankan pihak bertanggungjawab.
“Ini bagi memudahkan kami sekeluarga menziarahi kubur arwah yang berdekatan dengan kediaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Arwah Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis meninggalkan dua anak yang masih bersekolah iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, dan Nur Izzara Arissya, 9.
Media sebelum ini melaporkan, semua waris diberikan hak mengebumikan jenazah di mana-mana sahaja termasuk di kampung halaman masing-masing.
Dalam pada itu, Suriana berkata, pada masa ini dia hanya memikirkan masa depan dua anaknya yang masih bersekolah malah, dia juga tidak bekerja dan tinggal di rumah sewa.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang hadir menziarahi mereka sekeluarga pagi ini.
“Kami sekeluarga juga berbesar hati kerana Loke ada menyatakan pihaknya bersedia membantu kebajikan keluarga dan anak-anak yang akan diuruskan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan (DUN) Sungai Pelek,” katanya. – UTUSAN