Saya dikuarantin 7 hari -Muhyiddin

Saya dikuarantin 7 hari -Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin pada sidang akhbar selepas diputuskan bebas empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini hari ini. -UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari selepas pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia berikutan pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

Muhyiddin, 76, berkata, beliau menjalani kuarantin dan memakai gelang pengawasan bermula dari 5 Februari hingga 11 Februari 2021 selepas pulang dari Jakarta.

“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah), saya diiringi kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) ke dalam satu bilik khas dan saya melakukan ujian swab. 

“Seorang pegawai KKM memberitahu saya bahawa saya tidak perlu dikuarantin atau diwajibkan memakai gelang pengawasan sebagai penghormatan kepada jawatan saya sebagai Perdana Menteri ketika itu. 

“Beliau juga memaklumkan jika saya ingin dikuarantin, saya hanya perlu menjalaninya selama tiga hari,” katanya sambil menambah beliau mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada 4 Februari 2021.

Muhyiddin berkata demikian dalam pernyataan saksi pada hari pertama perbicaraan kes samannya terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berhubung perintah kuarantin melibatkan beliau dalam laman Facebooknya (Mohd. Puad).

Muhyiddin berkata, beliau memberitahu pegawai KKM bahawa beliau harus dipakaikan gelang pengawasan dan tidak bersetuju dengan tempoh kuarantin selama tiga hari kerana surat Ketua Pengarah (KP) Kesihatan memerlukannya menjalani kuarantin selama tujuh hari.

“Hasrat saya adalah untuk mematuhi arahan KP dan saya tidak menginginkan layanan istimewa yang tidak diperuntukkan oleh undang-undang dan tidak cuba untuk mendapatkannya,” katanya.

Muhyiddin turut menambah beliau tidak mengakibatkan sebarang kejadian atau kekecohan di Lapangan Terbang Subang sekembalinya dari Jakarta kononnya demi keengganannya untuk kuarantin.

Muhyiddin berkata, dakwaan bahawa beliau enggan dikuarantin atau mematuhi surat KP tidak boleh menjadi sebab pengeluaran Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan.

Warta itu menyatakan, Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

“Perintah pengecualian itu hanya berkuat kuasa dari 9 Februari hingga 1 Ogos 2021. Setahu saya, ia tidak terpakai kepada saya kerana saya pulang dari Jakarta pada 5 Februari 2021 sebelum tempoh tersebut. Pengawasan rumah saya hanya ditamatkan secara rasmi pada 11 Februari 2021.

“Menteri Kesihatan ketika itu mengeluarkan perintah pengecualian tersebut akibat daripada keputusan suci hati Jemaah Menteri untuk memudahkan perjalanan rasmi menteri ke luar negara untuk menangani masalah pelaburan negara, demi kepentingan Malaysia,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, penting untuk menerima jemputan Presiden Indonesia, Joko Widodo bagi mengekalkan persahabatan yang erat dan hubungan dua hala yang kukuh antara Indonesia dan Malaysia.

“Saya juga percaya bahawa pertemuan maya tidak boleh menggantikan keberkesanan pertemuan bersemuka untuk menjalinkan hubungan antara pemimpin dunia dan produktiviti pertemuan bersemuka bagi mencapai persefahaman bersama,” katanya.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Rosli Dahlan dan Bahari Yeow Tien Hong mewakili Muhyiddin manakala Mohd. Puad diwakili peguam G. Rajasingam dan Shahrul Fazli Kamarulzaman.

Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi, Muhyiddin selaku plaintif mendakwa pada 8 Februari 2021, Mohd. Puad sebagai defendan telah menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama ‘Dr Puad Zarkashi’ dengan tajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Muhyiddin mendakwa, kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz bersambung Khamis ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya