'Saya bukan pemimpin zalim' - Anwar - Utusan Malaysia

‘Saya bukan pemimpin zalim’ – Anwar

ANWAR Ibrahim (tengah) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan di Batu Hampar,  Manir,  Kuala Terengganu, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau seorang pemimpin yang zalim sejak memegang jawatan Perdana Menteri lebih lapan bulan lalu.

Anwar menegaskan, pelbagai insentif dan bantuan yang memanfaatkan semua lapisan rakyat dibuat Kerajaan Perpaduan termasuk kepada negeri yang ditadbir pembangkang.

Malah beliau berkata, kerajaan pimpinannya menyalurkan peruntukan lebih tinggi kepada Terengganu, Kedah serta Kelantan berbanding ketika Pas dan Bersatu menjadi kerajaan pusat.

“Setiap kali sidang rakyat di Parlimen, saya baca peruntukan untuk semua negeri termasuk negeri pembangkang dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri tahu perkara ini.

“Menteri Besar Terengganu jumpa saya tentang tanah runtuh di Tasik Kenyir, saya tidak pernah fikir dia Pas, tetapi saya luluskan RM200 juta untuk pembaikian segera.

“Kita juga telah luluskan peruntukan RM1.7 bilion untuk mengatasi masalah air di Kelantan dan bagi peringkat pertama, RM500 juta disalurkan kepada kerajaan negeri.

“Tapi pembangkang tetap fitnah saya zalim, sedangkan tiga tahun Pas dan Bersatu jadi kerajaan Pusat apa yang mereka buat kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Jelajah Perpaduan di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Harapan (PH) Batu Hampar dekat Manir di sini, malam ini.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu lagi, terbaharu Kerajaan Perpaduan juga membela nasib pesawah dengan menaikkan kadar subsidi harga padi daripada RM360 kepada RM500 setan.

Selain itu katanya, beliau juga pada awal tahun ini mengumumkan kenaikan insentif pengeluaran getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram bagi membantu golongan penoreh getah.

“Pada tahun ini juga, saya panggil Menteri Pendidikan untuk periksa tandas sekolah di seluruh negara dan kita sediakan RM1.4 bilion untuk baiki kemudahan tandas berkenaan.

“Malangnya pembangkang tetap lempar fitnah kononnya saya zalim tapi saya nak tanya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, apa yang beliau buat ketika jadi Perdana Menteri selain beri projek kepada anak menantu.

“Sedangkan saya sendiri kalau ada dalam kerajaan pimpinan ini terlibat dalam rasuah dan dibuktikan bersalah, saya sendiri akan ‘terajang’ masuk dalam jel,” tambah Anwar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya