DENGKIL: Berbaki lima hari sebelum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said giat ‘menggempur’ pengundi dalam kalangan anak muda.
Noorazli berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya selama enam tahun sebagai Ketua Pemuda UMNO Sepang dalam mendampingi dan mendekati anak muda di kawasan itu.
Menurutnya, beliau bukan orang asing di Dengkil mahupun Sepang dan sudah banyak menabur bakti terutama ketika daerah ini dilanda banjir pada akhir tahun 2021 dan pandemik Covid-19.
“Tidak ada ceruk tempat di Dengkil dan Sepang yang saya tidak turun padang, malah saya bukan turun padang ketika PRN sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, keutamaannya ketika ini adalah merampas kembali DUN Dengkil yang selama ini kubu kuat UMNO dan BN.
Ditanya gerak kerja kempen BN di dua DUN lain, Noorazli berkata, DUN Tanjung Sepat dan Sungai Pelek ditandingi wakil gabungan Kerajaan Perpaduan iaitu PKR dan DAP, malah mereka sudah diberi peranan masing-masing.
“Tiada istilah kita nak jaga tempat lain, sebaliknya kita berkongsi. Kami berkongsi tempat sama, dalam daerah Sepang ini.
“Cuma keutamaan saya pada PRN ini adalah di Dengkil walaupun saya Ketua UMNO Bahagian Sepang. Bagaimanapun, ia tidak menidakkan gerak kerja kempen ahli saya di dua DUN itu.
“Kami sudah bahagi tugas masing-masing. Saya ketuai BN di Dengkil, PKR di Tanjung Sepat dan DAP di Sungai Pelek,” katanya.
Katanya, beliau juga akui wujud sentimen yang sedikit marah kepada gabungan (Kerajaan Perpaduan) ini, namun perlu diingat bahawa gabungan ini belum teruji dalam mana-mana pilihan raya. – UTUSAN