JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar, 50, mahu menjadikan isu rakyat setempat sebagai tumpuan utama sepanjang tempoh berkempen.
Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai itu berkata, sebagai anak kelahiran Tampoi, ia memberi kelebihan kepadanya untuk mendekati pengundi.
Beliau berkata, tempoh 14 hari berkempen itu akan dimanfaatkan dengan baik bersama jentera parti bagi memastikan setiap suara penduduk didengari.
“Saya akan lihat pelbagai masalah yang membelenggu penduduk seperti banjir kilat serta isu rakyat yang lain.
“Saya lebih mengenali pengundi dan sebelum ini saya juga banyak bertemu dengan masyarakat, khususnya semasa pandemik Covid-19. Insya-Allah saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam. – UTUSAN