PADANG BESAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyediakan satu rangka kerja bagi pembangunan industri jagung bijian di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rangka kerja itu menggariskan hala tuju dan langkah-langkah bagi mewujudkan industri jagung bijian yang dinamik serta lestari.
Beliau berkata, langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan Malaysia dapat mencapai sasaran penghasilan domestik jagung bijian sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2032.
“KPKM sentiasa komited dalam memastikan keterjaminan makanan dengan memberi pendedahan kepada pemegang taruh berhubung pengukuhan Program Pembangunan Jagung Bijian yang merupakan antara fokus utama pada tahun ini.
“Selain itu, program ini juga memberi pendedahan mengenai teknologi penanaman jagung bijian dan amalan pertanian baik yang dilaksanakan dalam menghasilkan jagung bijian berkualiti,” katanya selepas Lawatan Kerja Ke Projek Tanaman Jagung Bijian di Lembah Chuping, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Razali Saad: Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Jabatan Pertanian, Christopher John Biai dan Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya Malaysia mampu mencapai penghasilan jagung bijian sekitar 50 peratus dalam masa lima atau enam tahun akan datang, ia dapat membantu mengurangkan pengaliran keluar wang negara bagi tujuan import bekalan.
“Jagung bijian adalah sumber makanan utama kepada ayam atau daging dan harga ternakan itu juga pernah melambung tinggi sewaktu pandemik Covid-19 lalu disebabkan masalah import jagung bijian yang naik mendadak.
“Oleh itu, langkah mesti diambil segera dengan turut mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk swasta,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pada tahun ini, sejumlah RM13 juta telah diperuntukkan oleh KPKM bagi pembangunan industri jagung bijian dengan membabitkan kajian, penyelidikan, pemutuan kualiti, perolehan jentera dan penanaman.
Tambah beliau, bantuan yang disediakan bagi penanaman jagung bijian ini adalah dalam bentuk reimbursement matching grant untuk tujuan pembelian mekanisasi dan insentif secara in kind kepada syarikat swasta serta petani.
“Syarikat atau koperasi dengan keluasan tanaman jagung bijian minima 25 hektar layak dipertimbangkan di bawah geran ini meliputi bantuan maksimum sebanyak RM250,000 bagi setiap insentif.
“Malah bantuan tajaan dengan kadar RM20,000 per hektar turut diberikan kepada individu atau kelompok petani dengan keluasan tanaman sehingga 10 hektar,” katanya.-UTUSAN