MIRI: Mengambil kira peratusan jumlah golongan Orang Hidup Dengan AIDS dan HIV (OHDA) yang rendah di Sarawak, negeri ini berkemungkinan boleh menjadi negeri pertama bebas AIDS menjelang 2030.
Pengerusi Yayasan Aids Malaysia (MAF), Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, pencapaian itu boleh dicapai sekiranya masyarakat memainkan peranan dengan menggalakkan golongan yang berisiko tinggi menjalani ujian dan rawatan Aids/HIV.
“Bagaimanapun, tidak dinfikan antara faktor lain adalah halangan geografi di Sarawak ini menjadikan ia satu cabaran meningkatkan usaha rawatan dan pencegahan.
“Namun, sekiranya seseorang individu itu mempunyai keazaman dan perkongsian pendekatan terhadap Aids/HIV yang tinggi dalam komuniti untuk pencegahan awal, ia boleh dilakukan bersama,” katanya ketika berucap di Majlis Gala Miri anjuran MAF, di sini.
Tambahnya lagi, pencegahan Aids/HIV adalah tidak mustahil dengan rawatan canggih yang terkini seperti penggunaan kaedah PrEP (pre-exposure prophylaxis).
“Kita mempunyai keadah rawatan seperti penggunaan PrEP dan ubat Pengurangan Kemudaratan yang lain, justeru itu ia memberi peluang untuk menghentikan jangkitan Aids/HIV daripada seseorang yang hidup dengan HIV kepada pasangan seksual atau daripada ibu kepada anak yang belum lahir jika mereka menerima rawatan dan mencapai tahap virus yang tidak dapat dikesan, konsep yang dikenali sebagai U equals.
“Bagaimanapun tahap pendedahan kepada program kesedaran Aids dan HIV perlu diteruskan, dan melihat trend penularan HIV seksual di Sarawak yang rendah jelas bahawa kita perlu teruskan usaha pengetahuan sampai kepada semua individu terutama mereka yang berisiko agar sasaran tercapai,” jelasnya lagi.
Justeru itu, Dr Adeeba menegaskan sokongan kerjasama di antara kerajaan Sarawak, Kementerian Kesihatan dan MAF menerusi usaha penubuhan Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) pertama di Kuching dan keduanya di Miri.
“Usaha kerjasama antara pihak kerajaan, NGO dan masyarakat setempat amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih komprehensif bagi penganjuran program kesedaran buat komuniti setempat.
“Tidak dinafikan ia perlu disokong oleh dasar perlindungan HIV yang kukuh, sokongan tidak berbelah bahagi oleh pihak berkepentingan yang berkaitan dan pihak berkuasa kesihatan awam,” ujar Dr Adeeba.
Sebagai rekod sejak tahun 2007 hingga 2022, Sarawak mencatatkan 4,752 kes HIV manakala sejumlah 2,206 pula merupakan kes Aids, yang tertinggi diikuti Kuching, Miri, dan Sibu. Daripada kumualtif tersebut, 40% merupakan golonga OHDA dari pusat bandaraya di Kuching.-UTUSAN