Sambut hari lahir bapa serentak hari merdeka

Sambut hari lahir serentak hari merdeka

SYED Nor Syed Ali memasang Jalur Gemilang untuk menyemarakkan semangat patriotisme anak cucunya yang akan pulang ke rumahnya sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di Kampung Raja Tepuh, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Tanggal 31 Ogos setiap tahun sangat penting buat lapan anak Syed Nor Syed Ali, 73, kerana ia adalah tarikh ‘wajib’ untuk seisi keluarga berkumpul di kediaman ibu bapa mereka.

Selain cuti menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, ia juga adalah tarikh keramat buat mereka lapan beradik menyambut ulang tahun kelahiran Syed Nor yang juga jatuh pada hari bersejarah itu.

Salah seorang anaknya, Tuan Sharifah Noraini, 40, berkata, hanya ada dua tarikh istimewa untuk mereka sekeluarga berkumpul di kampung setiap tahun iaitu sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pada 31 Ogos.

Menurutnya, ada adik-beradik yang tinggal jauh di perantauan dan tidak semua dapat bercuti serentak untuk berkumpul beramai-ramai.

“Namun, kami sepakat pulang bersama pasangan dan anak masing-masing pada dua tarikh tersebut bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan menggembirakan ibu bapa di kampung.

“Kebiasaannya, pada pukul 7 pagi 31 Ogos, kami semua akan  menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan di bandar Kuala Terengganu. Pada sebelah malam pula kami akan bersama-sama raikan sambutan ulang tahun kelahiran bapa tercinta,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Kampung Raja Tepuh, di sini, semalam.

Sementara itu, Syed Nor berkata, perasaannya bercampur baur setiap kali menyambut hari ulang tahun yang juga tarikh keramat untuk rakyat Malaysia.

“Pastinya rasa gembira dan syukur kerana bukan semua insan terpilih dilahirkan pada 31 Ogos. Saya dapat rasakan semangat patriotisme semakin menyerlah setelah menginjak dewasa dan memahami erti sebenar sejarah perjuangan nenek moyang terdahulu.

“Tradisi memasang Jalur Gemilang di pekarangan rumah juga sudah menjadi rutin tahunan setiap kali menjelang 31 Ogos dan saya selalu mengingatkan anak cucu agar menjadi warganegara yang baik dengan menghayati prinsip Rukun Negara.

“Cabaran mereka lebih besar untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan yang negara kecapi ketika ini. Sebagai warga emas, saya berharap mereka dapat melakukan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara pada masa depan tanpa mengira apa bidang yang diceburi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya