Salah faham aspek kemelayuan dalam Perlembagaan punca gugat perpaduan

Salah faham aspek kemelayuan dalam Perlembagaan punca gugat perpaduan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Salah faham dalam memahami aspek kemelayuan yang termaktub dalam Perlembagaan menjadi antara faktor yang boleh menggugat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, aspek kemelayuan itu sepatutnya tidak dilihat menjadi milik dan identiti satu kaum sahaja.

Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menegaskan, aspek itu sebaliknya menjadi milik dan identiti bersama semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia.

“Tidak adil jika aspek kemelayuan yang terpelihara dalam Perlembagaan dilihat sebagai unsur diskriminasi kerana itu merupakan identiti negara ini yang diwarisi secara perundangan.

“Seorang warganegara tidak boleh menyama taraf jati diri bangsa asing atau jati diri negara lain yang berbeza dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan untuk menjadi identitinya, semua wajib menghayati semangat sumpah kewarganegaraan,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah dengan mengingatkan bahawa perjuangan untuk memartabatkan sesuatu bangsa tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan yang didambakan.

Seri Paduka bertitah, polarisasi akan wujud apabila kaum-kaum semakin merenggang di antara satu sama lain, sama ada disebabkan oleh perasaan, sikap, tujuan dan cita-cita yang mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan antara pelbagai kaum.

TItah baginda, polarisasi turut membawa implikasi sosio budaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur-unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, kelonggaran sistem pendidikan dengan kurangnya elemen pengukuhan jati diri bangsa Malaysia dilihat turut menjadi faktor semangat perpaduan tergugat.

Beliau berkata, nilai kesepaduan sudah ada seperti elemen yang termaktub dalam Perlembagaan, namun ia perlu dikukuhkan dengan aspek penguatkuasaannya.

Katanya, setiap mereka yang mengikrarkan sumpah di bawah Jadual Keenam Perlembagaan mesti mengambil tanggungjawab untuk menunaikan amanah yang diberikan untuk menguatkuasakan elemen jati diri bangsa Malaysia.

Dalam hal itu, jelas beliau, ahli politik tidak harus hanya meletakkan perkiraan undi popular, tetapi perlu berubah sikap dengan segera jika sayangkan keharmonian negara dan kesejahteraan rakyat.

“Ahli politik khususnya perlu kembali mendidik rakyat kepada prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang secara bijaksana.

“Akta Hasutan perlu ditambah baik, bukan dipinda untuk membuang elemen yang dipelihara oleh Perlembagaan. Penggubalan Akta Suruhanjaya Kedaulatan Negara dan Akta Kesetiaan Sumpah Jadual Keenam Perlembagaan perlu disegerakan sebagai langkah persepadu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya