Saiz besar pelancong luar bukan halangan redah Taman Negara

Saiz besar pelancong luar bukan halangan redah Taman Negara

Tajuddin Mat Ami meregangkan tali membantu seorang pelancong Sepanyol menyeberangi Sungai Terenggan di hutan Taman Negara berdekatan Kuala Tahan, Jerantut hari ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Bagaimana meloloskan pelancong dari Eropah yang bersaiz besar dan tinggi adalah antara cabaran bagi pemandu alam sekitar (nature guides) di hutan tropika Taman Negara, Kuala Tahan di sini.

Memberitahu Utusan Malaysia, pemandu alam sekitar, Tajuddin Mat Ami, 45, berkata, pelancong berkenaan menghadapi laluan paling mencabar ketika menyeberangi anak sungai selebar antara lima hingga 10 meter menggunakan batang kayu yang dijadikan titi kerana tidak dapat mengimbangi badan dan dibimbangi jatuh ke air.

Selain itu, mereka juga sukar melakukan aktiviti riadah di kawasan hutan seperti menyeberangi sungai meniti batang kayu, mendaki, eksplorasi gua malahan sekalipun ketika berjalan kaki di kawasan denai.

“Hari ini, saya membawa (memandu) seramai 11 orang pelancong dari negara Sepanyol dan sepasang suami isteri bertubuh besar malahan kebanyakannya tinggi belaka.

“Apa yang berlaku ketika meniti batang kayu menyeberangi Sungai Terenggan, pasangan ini agak sukar berjalan di atas batang kayu dan terpaksa dibantu dengan menggunakan tali,” katanya di Kuala Terenggan berdekatan Kuala Tahan.

Menurut Tajuddin, pelancong Sepanyol yang berbadan besar dikenali sebagai Jorge Herrero dan isterinya, Gael Zamora yang bertubuh tinggi agak sukar mengimbangi badan ketika meniti batang kayu dan terpaksalah dia memberikan arahan bagaimana cara meniti sambil meregangkan tali dipasang di bahagian tepi bagi mengelakkan kedua pelancong itu terjatuh ke dalam air.

Bapa kepada seorang anak berusia 13 tahun ini berkata, hari ini dia memandu pelancong Sepanyol menjelajah kawasan Terenggan termasuk Gua Kepayang yang terletak 16.5 kilometer dengan Kuala Tahan termasuk menaiki bot penambang ke Sungai Keniam.

“Apa yang menggembirakan saya, mereka lebih sporting dan tidak cerewet sentiasa mematuhi segala arahan pemanduan ketika berdepan cabaran sehingga aktiviti pengembaraan hutan serta gua berjaya dan selamat,” kataya.

Beliau yang sudah 23 tahun terlibat sebagai pemandu alam sekitar berkata, bagi setiap perjalanan beliau mendapat upah RM600 dengan kekerapan kira-kira dua trip seminggu.

Katanya, musim panas dan kemarau sejak bulan Jun sehingga ini memberikan peluang ramai pelancong luar berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan sebagai persinggahan pertama untuk berehat antara dua hingga tiga hari sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Tioman dan destinasi lain.

“Pemandu alam sekitar dan penggiat ekopelancongan di Kuala Tahan cuma mempunyai tempoh dua bulan sahaja lagi untuk memperoleh pendapatan sebelum musim tengkujuh bermula pada awal bulan Oktober ini,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya