KUBANG PASU: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Sabrina Ahmad, 45, mengimpikan
untuk menubuh hub dalam talian sekiranya dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus mampu membantu peniaga kecil memasarkan produk mereka secara lebih meluas.
Sabrina berkata, pelaksanaan inisiatif itu sekali gus dapat memberi kefahaman kepada peniaga kecil di kawasan itu untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Katanya, selain pemasaran produk secara meluas, hub tersebut juga dapat membantu mengangkat nama Jitra khususnya buat masyarakat luar.
“Jitra mempunyai pelbagai produk yang berpotensi untuk diketengahkan dan kewujudan hub dalam talian ini dapat membantu peniaga kecil untuk memasarkan produk-produk mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) Jitra, di sini, hari ini.
Pada PRN ini, Sabrina bakal menghadapi pertembungan satu lawan satu menentang bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Sabrina berkata, produk-produk tempatan yang dipasarkan di hub dalam talian itu dapat dibawa keluar untuk dipasarkan ke negara jiran lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan sebagainya.
“Kita tak mahu produk-produk di Jitra ini hanya dipasarkan di Malaysia dan boleh diperluaskan ke negara-negara lain menerusi penubuhan hub dalam talian ini,” katanya.
Di samping itu, Sabrina berkata, peniaga-peniaga tempatan juga tidak lagi memerlukan khidmat stokis atau ejen dalam memasarkan produk masing-masing menerusi penubuhan hub dalam talian itu.
Tambahnya, namun begitu, peniaga terlibat juga perlu diberi pendedahan dan kefahaman berhubung potensi pemasaran dalam talian yang mana peluangnya lebih terbuka luas.
“Menerusi hub ini, kita sendiri dapat wujudkan platform perdagangan dalam talian seperti beberapa medium terkemuka lain namun peniaga terlibat perlu fokus dan memberi komitmen sebaiknya,” katanya.-UTUSAN