Rosyam Nor beri amaran, saman pengguna gambar tanpa izin - Utusan Malaysia

Rosyam Nor beri amaran, saman pengguna gambar tanpa izin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Rosyam Nor, 56, bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menggunakan imejnya secara tanpa izin untuk mengaut keuntungan atau menjalankan kegiatan jenayah.

Kata Rosyam, beliau tidak akan berkompromi dan akan segera menggunakan lunas undang-undang untuk memberi pengajaran kepada pelaku terbabit.

“Saya akan laporkan kepada polis atau ambil tindakan mahkamah terhadap pelaku yang menggunakan gambar saya tanpa kebenaran.

“Kepada si penipu, Tuhan nampak apa yang anda buat. Mungkin satu hari nanti Tuhan turunkan bala, kalau tak kena pada anda (pelaku), mungkin kena pada keluarga termasuk isteri dan anak-anak.

“Jangan aniaya orang, guna gambar tanpa izin untuk melakukan penipuan. Nama saya juga yang busuk. Jadi saya harap kegiatan seperti ini dapat dihentikan,” katanya.

Rosyam berkata demikian selepas majlis minum petang Perintis Usanita 2.0: Meet & Mingle yang berlangsung di Skydining Wangsa 118, dekat sini baru-baru ini.

Terdahulu, Rosyam menerusi sebuah video di Instagramnya mendedahkan menjadi mangsa apabila gambarnya telah dimanipulasi scammer yang berselindung disebalik kegiatan pelaburan saham.

Rosyam juga mendedahkan imejnya sebelum ini pernah beberapa kali dimanipulasi individu tidak dikenali untuk mempromosikan produk termasuk stokin dan seluar dalam.

Enggan terus diperguna, pelakon berpengalaman itu bertindak melaporkan kes penipuan pelaburan saham itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Saya harap SKMM ambil tindakan dan pihak Polis Diraja Malaysia maklum perkara ini untuk tindakan mereka kerana ramai artis telah menjadi mangsa.

“Kepada mereka yang mengenali saya, jangan terpedaya dengan iklan sebegini. Semak dahulu di media sosial untuk mengetahui sebarang aktiviti saya.

“Kepada artis lain yang menjadi mangsa, segera ambil tindakan dengan menguar-uarkan perkara itu di media sosial masing-masing atau laporkan kepada pihak berkuasa. Jangan diamkan. Lindungi peminat atau masyarakat daripada menjadi mangsa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya