Rosmah `terbang' lagi ke Singapura esok, lawat Nooryana Najwa

Rosmah `terbang’ lagi ke Singapura esok, lawat Nooryana Najwa yang sarat mengandung

ROSMAH Mansor hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi memohon pasport untuk melawat anaknya di Singapura. -UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor dibenar ke luar negara kali keempat untuk melawat ahli keluarga serta anak perempuannya di Singapura yang sedang sarat mengandung dan dijangka melahirkan anak ketiga, akhir bulan ini.

Isteri bekas Perdana Menteri itu dibenarkan `terbang’ ke republik berkenaan esok selepas Mahkamah Rayuan memulangkan semula pasport antarabangsanya yang ditahan berkaitan kes jenayah yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Rosmah selepas pihak pendakwaan tidak membantahnya.

Peguam Datuk Jagjit Singh memohon pasport Rosmah dikembalikan sementara bagi membolehkan anak guamnya ke Singapura bermula esok hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September hingga 31 Oktober ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata, pihaknya tidak mendapat arahan untuk membantah permohonan tersebut.

Notis usul permohonan isteri bekas Perdana Menteri itu difailkan melalui Tetuan Akberdin & Co. pada Jumaat minggu lalu.

Menerusi afidavit yang diikrarkan, Rosmah, 72, berkata, beliau akan pulang ke tanah air bagi menghadiri perbicaraan kes jenayahnya pada 24 – 25 Ogos dan 7 – 8 September.

Katanya, lawatan ke republik itu dibuat kerana beliau berhasrat untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa, 35, yang dijangka bersalin pada 28 Ogos ini.

Nooryana merupakan anak sulung Najib dan Rosmah, telah berkahwin dengan seorang pemuda warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan kini menetap di Singapura.

“Pemohon sebelum ini telah membuat permohonan yang sama pada Oktober 2021 dan tahun ini iaitu Mac serta Jun lalu.

“Semua permohonan itu telah dibenarkan oleh mahkamah malah ia tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan,” katanya.

Menurut afidavit itu juga, Rosmah sedar akan natijah sekiranya beliau ingkar atau enggan menuruti perintah mahkamah agar menghadiri sebutan dan perbicaraan.

Pemohon sehingga ke hari ini tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi mana-mana prosiding tanpa alasan yang munasabah.

Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pengurusan kes seterusnya pada 18 September ini.

Isteri Najib itu turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya