Rosmah guna RM7j bayar bil telefon, kad kredit

Rosmah guna RM7j bayar bil telefon, kad kredit

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi tempoh Disember 2013 hingga November 2018, bekas Wanita Pertama, Datin Seri Rosmah Mansor merupakan seorang penganggur.

Namun dalam tempoh tersebut, beliau telah mendepositkan puluhan keping cek berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya.

Cek-cek tersebut didepositkan dengan bantuan Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Roslan Sohari.

Wang lebih RM7 juta itu didakwa digunakan oleh Rosmah untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya.

‘Pendapatan’ yang didakwa hasil daripada aktiviti haram juga tidak pernah dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Itu merupakan sebahagian daripada ucapan pembukaan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan elak cukai yang dihadapi Rosmah dan dibacakan pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN pada 4 Oktober 2018.

Pada 19 Disember 2018, kes dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Hukuman bagi kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan elak cukai itu ialah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya