Rokok seludup bernilai RM1.37 juta dirampas - Utusan Malaysia

Rokok seludup bernilai RM1.37 juta dirampas

ABDUL Ghafar Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan berasingan di tiga negeri bulan lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas lebih satu juta batang rokok seludup bernilai RM1.37 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan, bulan lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, tangkapan pertama pada 27 Julai lalu melibatkan lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam satu sekatan jalan raya selepas susur keluar Plaza Tol Sungkai.

Katanya, dalam operasi pada pukul 8.15 pagi itu, lelaki berbangsa Siam tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Susulan tangkapan itu, kita membuat beberapa serbuan di kawasan Puchong dan Bandar Baru Seri Petaling. Hasil serbuan telah berjaya merampas rokok pelbagai jenama yang disyaki larangan kastam.

“Hasil rampasan keseluruhan melibatkan 1,817,960 batang rokok dengan nilai rokok berjumlah RM161,668.40 dan anggaran cukai sebanyak RM1,210,020.44,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi khas itu dijalankan selepas risikan dilakukan terhadap sindiket berkenaan selama dua bulan.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya