KUALA SELANGOR: Kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi projek kemudahan infrastruktur kompleks dan jeti nelayan di seluruh negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebanyak RM10.6 juta daripadanya diperuntukkan bagi menaik taraf empat kompleks pendaratan ikan sedia ada.
“Selain itu, kerajaan menyalurkan RM2.4 juta bagi kerja-kerja menaik taraf lapan jeti sedia ada yang antaranya uzur dan usang.
“Menerusi peruntukan itu, sejumlah RM2 juta disediakan bagi membina lima jeti nelayan baharu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rahmah Mesra Madani bersama LKIM di Jeti Nelayan Sungai Buloh, hari ini.
Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan berjumlah RM303,000 kepada lebih 160 nelayan antaranya meliputi enjin bot, peralatan penangkapan ikan dan bakul makanan.
Jelas Muhammad Faiz, LKIM turut menyediakan peruntukan khas berjumlah RM500,000 bagi projek pembaikan kecil jeti nelayan.
“Setakat ini, terdapat lebih 10 permohonan itu dikemukakan meliputi bantuan baik pulih bumbung dan mengecat jeti. Peruntukan ini diberikan selepas saya membuat lawatan dan mengenal pasti keperluan di semua jeti tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal tohmahan pihak tertentu kononnya akan menghapuskan subsidi dan bantuan kepada nelayan.
“Kerajaan Madani terbukti mahu terus meningkatkan lagi infrastruktur sedia ada bagi kemudahan nelayan menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan.
“Kita berharap lebih ramai nelayan menerima manfaat dan lebih aktif menangkap ikan serta membela nasib mereka yang banyak membantu negara,” katanya. – UTUSAN