RM10 juta daripada Yayasan Akalbudi untuk pelaburan kata Datuk K

RM10 juta daripada Yayasan Akalbudi untuk pelaburan dalam syarikat, kata Datuk K

KHALID Mohamad Jiwa (kanan) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi. -UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyalurkan dana RM10 juta kepada Armada Holdings Sdn. Bhd. sebagai modal berbayar untuk membida tender pembekalan arang batu di Indonesia.

Ahli perniagaan itu berkata, cek RM10 juta dikeluarkan daripada dana Yayasan Akalbudi milik Timbalan Perdana Menteri dan diberikan kepada Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Ishar Ahmad yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif, Armada Holdings Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Beliau yang juga suami kepada penyanyi terkemuka, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata, wang pelaburan RM10 juta tersebut telah dikembalikan semula kepada Yayasan Akalbudi beserta faedah sebanyak RM69,722.65.

“Secara tidak langsung yayasan tidak mengalami apa-apa kerugian dan telah memperolehi keuntungan yang sama atau yang sepatutnya,” ujar Khalid, 64, ketika membacakan pernyataan saksinya.

Beliau memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kelapan pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. Dalam keterangannya, Khalid yang juga pengarah beberapa buah syarikat menyatakan, Wasi Khan yang dikenalinya lebih 20 tahun lalu memaklumkan beliau (Wasi) berminat menubuhkan syarikat pembekalan arang batu di Indonesia.

Menurut saksi, Wasi Khan memberitahu, syarikatnya memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minimum untuk didaftarkan sebagai syarikat pembekal atau kontraktor di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ujar Khalid, Wasi Khan kemudian meminta untuk bertemu Ahmad Zahid dan beliau selanjutnya mengatur pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada 2015.

Saksi selanjutnya menyatakan, dalam pertemuan itu Wasi Khan telah menyatakan hasratnya meminta campur tangan Ahmad Zahid meminta pihak TNB supaya mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta sahaja.

Namun demikian, Khalid berkata, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan beliau tidak bolehberbuat demikian kerana ianya di luar bidang kuasa dan menjadi satu kesalahan sekiranya beliau campur tangan dalam urusan dan polisi yang telah ditetapkan oleh TNB.

Ujarnya, pada akhir perbincangan, Ahmad Zahid bersetuju menyediakan pelaburan sebanyak RM10 juta yang mana diketahui kemudiannya daripada dana Yayasan Akalbudi.

“Wang RM10 juta itu masih berbentuk pelaburan tanpa apa-apa kerugian bertujuan semata-mata untuk membolehkan Armada Holdings layak untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada TNB,” ujarnya.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Khalid berkata, pertemuan Wasi Khan dengan Ahmad Zahid bukan bertujuan meminjam wang, sebaliknya untuk meminta pertolongan mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta sahaja.

Ujar Khalid, bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri `cukup baik’ untuk membantu menyalurkan dana pelaburan RM10 juta bagi membolehkan Wasi Khan layak membida projek berkenaan.

Dusuki kemudian mencadangkan bahawa RM10 juta itu jumlah yang banyak dan lebih sesuai Wasi Khan memohon pinjaman bank daripada meminta pertolongan Ahmad Zahid. Bagaimanapun, saksi berkata, sebagai bekas kakitangan bank, tindakan itu adalah sia-sia, lagipun pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri bukan bertujuan meminjam wang.

Dusuki: Masa itu tidakkah terlintas bagaimana Zahid mendapatkan wang RM10 juta?
Khalid: Zahid ini bekas ahli perbankan, ahli perniagaan dan tokoh korporat, wang RM10 juta itu boleh diperoleh dengan pelbagai cara.

Dusuki: Datuk Seri tahu ahli lembaga pengarah Yayasan Akalbudi bersetuju mendapatkan pinjaman RM10 juta untuk Wasi Khan?
Khalid: Tidak tahu ketika itu, saya bukan dalam ahli lembaga pengarah.

Dalam pernyataan saksi, Khalid menyatakan beliau mengenali Ahmad Zahid hampir 30 tahun lalu ketika bertugas sebagai seorang pengurus bahagian pinjaman di Bank Bumiputra yang kini dikenali sebagai Bank CIMB.

Ujar saksi, Ahmad Zahid dikenalinya sebagai seorang yang pemurah, dermawan dan suka membantu selain pernah melakukan beberapa aktiviti sosial bersama termasuk beberapa kali melakukan konvoi menaiki motosikal berkuasa tinggi bersama-sama selain pernah melakukan aktiviti di CapeTown, Afrika Selatan.

Sementara itu ketika dalam pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Khalid berkata, wang RM10 juta itu bukan pinjaman, sebaliknya adalah pelaburan. Beliau menjelaskan, wujud perbezaan di antara pinjaman dan pelaburan yang mana pinjaman mempunyai tempoh pembayaran balik dan memerlukan cagaran sebaliknya pelaburan tiada tempoh sedemikian manakala cagaran tidak diperlukan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung dengan mendengar keterangan saksi lain. Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016. Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal. Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN