Remaja cedera diserang beruang di kebun durian - Utusan Malaysia

Remaja cedera diserang beruang di kebun durian

AL AMIN Ratna Shariman Alias mengalami kecederaan selepas diserang beruang di kebun durian di Kampung Lerek, Hulu Terengganu, semalam. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

HULU TERENGGANU: Seorang remaja lelaki cedera selepas diserang seekor beruang ketika berada di kebun durian milik ayahnya di Kampung Lerek, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 itu, mangsa, Al Amin Ratna Shariman Alias, 18, yang bersendirian sewaktu kejadian bernasib baik kerana parang dibawa menjadi penyelamat daripada terus diserang. 

Menurut abangnya, Aweh Zulkurnain, 22, adiknya ke kebun menunggang motosikal dari rumah dan meninggalkan kenderaan di tepi jalan sebelum berjalan kaki sejauh hampir satu kilometer. 

“Sewaktu kejadian dia (mangsa) telah pun sampai dalam kawasan kebun durian. Sedang asyik berjalan dia terkejut melihat seekor beruang sedang makan durian beberapa meter daripadanya. 

“Dia terus bersembunyi di sebalik pokok namun tidak lama kemudian, tiba-tiba beruang itu datang menyerang dan dalam keadaan cemas itu dia melibas parang ke arah beruang bagi selamatkan diri. 

“Akibat libasan itu, adik saya turut rebah manakala beruang tersebut terus melarikan diri. Dia terus keluar dari kebun menuju ke kenderaan sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu oleh ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Tambah Aweh, adiknya menerima beberapa jahitan di bahagian kepala dan kejadian diserang beruang itu merupakan  kali pertama dihadapi ahli keluarga sepanjang lebih 20 tahun ayahnya memiliki kebun durian itu.

Katanya lagi, dia tidak menolak kemungkinan beruang tersebut bertindak agresif kerana terkejut memandangkan sebelum ini sudah kerap kali terserempak namun haiwan tersebut melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya