JITRA: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengajak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghentikan perdebatan mengenai isu unsur nadir bumi (REE) yang dilihat menjadi modal kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Muhammad Sanusi berkata, ajakan tersebut dikemukakan kerana beliau mendakwa memiliki satu lagi maklumat penting berkaitan isu terbabit yang mungkin akan mengejutkan pihak lawan khususnya Saifuddin dan Pakatan Harapan (PH) yang bersama Barisan Nasional (BN).
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Saifuddin sudah kehabisan modal berkenaan isu REE, sebaliknya beliau masih memiliki ‘peluru’ terakhir.
“Saya ingat cerita REE ini kita tutuplah malam ini, Pudin (Saifuddin) jadilah (cukuplah). Hang habis dah modal. Aku ada satu lagi (pendedahan), kalau hang keluarkan (apa-apa) esok, aku balun yang tu hang kena kunci.
“Jadi jangan sampai saya bawa keluar (dedahkan) ‘bom atom’ itu. Kalau aku keluar hang punya muka kalih letak belakang,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, di sini malam tadi.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau juga boleh mendedahkan di mana lokasi pejabat milik seorang usahawan Indonesia yang sebelum ini didakwanya pernah hadir ke negeri itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon tanah bagi melombong REE di Kedah.
“Yang ini last punya. Kalau esok dia (Saifuddin) bercakap lagi saya nak tunjuk pejabat (milik usahawan Indonesia),” katanya.
Terdahulu di Sungai Petani, Saifuddin berkata, beliau akan mengemukakan bukti-bukti baharu mengenai kecurian REE di Bukit Enggang, Sik pada sidang akhbar di Jitra, hari ini.
Sementara itu, beliau menegaskan tiada sebarang permohonan Anwar bersama seorang ahli perniagaan Indonesia untuk mengusahakan aktiviti REE di Kedah dan ahli perniagaan itu hanya sekadar menemani Anwar untuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Sebenarnya dia mai ke Kedah menemani Datuk Seri Anwar untuk kunjungan hormat Sultan Kedah, itu saja lepas itu dia balik. Saya sendiri tanya Anwar tadi sebelum mai ceramah.
“Saya kata Datuk Seri kena jawab sikit. Datuk Seri pasti tak pernah jumpa dengan Sanusi? Beliau kata tak, perjumpaan itu berlaku di istana dan Sanusi pun tak dak,” katanya selepas menyampaikan ceramah kelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang di Taman Delima.
Beliau mengulas dakwaan Muhammad Sanusi bahawa Anwar dan usahawan warga Indonesia itu pernah datang ke Kedah untuk meninjau tapak lombong REE sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Saifuddin berkata, dakwaan Muhammad Sanusi itu adalah untuk mengalih perhatian rakyat namun ianya gagal kerana kunjungan lelaki Indonesia ke istana itu hanyalah untuk menemani Anwar dan tiada kaitan langsung dengan REE.
“Dia kena bukti, macam saya ada dokumen yang menunjukkan Sanusi bantu dari segi dokumen Imigresen, dalam surat tu tertera nama So Lai Fat dan Huang Zhiyi, saya tunjuk bukti, dia kata tak kenal, saya tunjuk gambar.
“Itu maksudnya bila kita buat kenyataan mesti backup (disokong) dengan bukti. Dia keluar kenyataan tak dak bukti, tak dak apa, jadi saya fikir itu adalah keadaan terdesak dia untuk mengekalkan sokongan Pas,” katanya. – UTUSAN