KEMAMAN : Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris tidak menyangka menjadi ‘giant killer’ menewaskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Seri Ahmad Said pada Pilihan Raya Negeri (PRN), semalam.
Razali yang mesra dikenali Tok Li berkata, pertembungan satu lawan satu di DUN tersebut dianggap pertempuran yang sengit dan bukan perkara yang mudah memandangkan bekas menteri besar Terengganu itu menyandang kerusi DUN Kijal selama sembilan penggal.
“Pada awalnya, saya rasa sedikit rendah diri dan tiada keyakinan untuk menentang Ahmad.
“Namun, apabila jentera Pas, Bersatu dan Gerakan memberi kerjasama yang baik, makin lama saya makin yakin kita mampu memberi tentangan dan cipta kemenangan. Saya terima kemenangan ini dengan penuh tawaduk dan Insya-Allah di DUN kijal saya akan ambil cakna,” katanya.
Razali berkata, kemenangan Perikatan Nasional (PN) di 32 DUN di Terengganu dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu disifatkan sebagai mesej penolakan rakyat di negeri ini terhadap Barisan Nasional dan kerajaan pusat.
“Ini adalah referendum rakyat Terengganu kepada kerajaan pusat. Ini satu mesej besar, rakyat tidak bersetuju cara UMNO dan kerajaan pusat.
“UMNO Terengganu agak terpukul kali ini (kekalahan PRN) dan saya fikir UMNO perlu berubah kembali kepada perjuangan asal dan ‘we can discuss together’,” katanya.
Dalam pertembungan satu lawan satu, Razali menang bergaya dengan majoriti undi 3,758 undi.
Razali berjaya memperoleh 13,403 undi, manakala Ahmad mendapat 9,645 undi.
Pada PRU14, dalam pertembungan tiga penjuru, Ahmad menang dengan jumlah undi sebanyak 9,545.
Hazri Jusoh yang mewakili Pas memperoleh 8,280 undi manakala calon PKR, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok hilang deposit dengan 1,472. undian.
Untuk rekod, Ahmad menyandang kerusi DUN Kijal sejak 1990 selama sembilan penggal dan pernah dikalahkan Mehamed Sulong dari Pas pada tahun 1999 dengan hanya 264 undian. – UTUSAN