Rayuan Apandi tangguh, hakim tarik diri

Rayuan Apandi tangguh, hakim tarik diri

1MDB Najib Jho Low
MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hanipah Farikullah menarik diri daripada mendengar rayuan berhubung kes saman fitnah RM10 juta oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Hakim tersebut memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam, Sangeet Kaur yang mewakili Kit Siang.

Terdahulu, peguam terbabit memohon agar Hakim Hanipah yang mengetuai panel tiga hakim dan bersidang bersama-sama Hakim Datuk Gunalan Muniandy dan Hakim Datuk Azmi Ariffin menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut.

Ini kerana Hakim Hanipah pernah terlibat dalam permohonan semakan kehakiman yang menyentuh mengenai kuasa pendakwaan Peguam Negara dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tujuh tahun lalu.

“Isu utama dalam semakan kehakiman tersebut dan rayuan hari ini membabitkan dua isu utama iaitu kuasa Peguam Negara untuk mendakwa dan menghentikan pendakwaan yang kini merupakan perayu dalam rayuan hari ini.

“Ia juga membabitkan isu budi bicara Peguam Negara berhubung bantuan perundangan bersama (mutual legal assistance) dalam mendakwa bekas perdana menteri yang diputuskan oleh saya di Mahkamah Tinggi dan turut disentuh dalam rayuan ini.

“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi perlu dilihat telah dilaksanakan. Sehubungan itu, saya menarik diri daripada mendengar rayuan ini demi keadilan,”kata Hakim Hanipah.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 September ini sebagai tarikh pendengaran baharu rayuan tersebut.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar rayuan Mohamed Apandi yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak samannya terhadap Penasihat DAP itu berhubung artikel berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 11 November 2016, Hakim Hanipah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Semakan kehakiman itu bagi mencabar keputusan Mohamed Apandi bahawa tiada kesalahan dibuat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak berhubung derma RM2.6 bilion, pemindahan dana daripada SRC International ke dalam akaun bank peribadi miliknya dan peruntukan pinjaman oleh dana pencen Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Hakim itu juga turut menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berhubung isu serupa.

Pada 23 Mei 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azimah Omar menolak saman Mohamed Apandi atas alasan Kiat Siang sebagai defendan mempunyai justifikasi dalam membangkitkan isu 1MDB menerusi artikel itu kerana skandal 1MDB membabitkan jenayah, menyalahi undang-undang, kesan sosial dan ekonomi kepada ekonomi negara serta moral pemimpin dan agensi tertinggi negara.

Beliau juga memerintahkan Mohamed Apandi membayar kos RM80,000 kepada Kit Siang.

Mohamed Apandi menyaman Kit Siang pada 5 Julai 2019 kerana mendakwa beliau memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamad Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kiat Siang menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk, Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa, perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara antara 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Kit Siang dan ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya