GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari secara rasmi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dengan undi majoriti 5,185.
Ahli Parlimen Gombak itu mendapat undi sebanyak 19,678 menewaskan pencabar utamanya daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dengan undi 14,493 manakala calon Bebas, G. Suman hanya mendapat sebanyak 430 undi.
Peratusan pengundian berbanding jumlah pemilih berdaftar adalah 70.92 peratus.
Keputusan itu diumumkan pegawai pengurus pilihan raya, Nor Azlina Abdul Aziz di pusat penjumlahan rasmi undi di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, di sini malam ini.
Kini, keseluruhan 86 peti undi sudah tiba di sini, malam ini.
Amirudin tidak hadir ke pusat penjumlahan rasmi undi di sini dan diwakili Pengarah Pilihan Raya PH DUN Sungai Tua, Amir Fazlee Abdul Khalid.
Sebanyak 157 kertas undi yang ditolak dan 33 jumlah kertas undi tidak dikembalikan.
Amirudin berdepan saingan tiga penjuru dalam PRN Selangor DUN Sungai Tua menentang Muhammad Hanif dan Suman.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, Pas dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN berkenaan.-UTUSAN