ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Antara kerusi dimenangi gabungan itu adalah Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Sungai Limau, Guar Chempedak dan Gurun.
Turut dimenangi PN adalah Belantek, Jeneri, Bayu, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Kulim, Bandar Baharu, Ayer Hangat, Kuah dan Suka Menanti.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan PN yang ditunjangi Pas bersama Bersatu dan Gerakan akan terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri Kedah.
Jumlah kemenangan yang diperoleh PN itu lebih besar berbanding kedudukan sebelum ini iaitu Pas 15 kerusi dan Bersatu enam kerusi sementara Pakatan Harapan (PH) hanya menang di Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.
Barisan Nasional (BN) pula hilang tiga kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu Sungai Tiang, Guar Chempedak dan Bandar Baharu apabila tewas di kesemua 15 kerusi yang ditandingi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Pengerusi PN Kedah berjaya mempertahankan DUN Jeneri dengan majoriti 16,050 undi menewaskan calon muka baharu BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
Sementara itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid tewas di tangan penyandang DUN Pedu daripada PN, Mohd. Radzi Md. Amin yang menang dengan majoriti 6,373.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar juga tewas kepada calon PN yang merupakan bekas pemain bola sepak iaitu Mohamad Radhi Mat Din di DUN Alor Mengkudu. Mohamad Radhi menang dengan majoriti 10,104.
Calon PN yang menjadi tumpuan iaitu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah mewakili PN juga meraih kemenangan di DUN Jitra setelah mencatat majoriti besar 23,172 undi menewaskan calon PH, Datin Sabrina Ahmad.
Sementara di DUN Gurun pula, ikon bola sepak, Baddrol Bakhtiar berjaya merampas kerusi itu daripada PH dengan menewaskan saingannya iaitu Mohammed Firdaus Johari dengan majoriti 6,584. –UTUSAN