Rakyat Terengganu perlu beri nasihat, tegur pemerintah - Utusan Malaysia

Rakyat Terengganu perlu beri nasihat, tegur pemerintah

USTAZ AZHAR IDRUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu perlu memberi nasihat dan teguran kepada pemerintah sekiranya terdapat kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas ketiadaan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal ini. 

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, rakyat tidak boleh bersikap mendiamkan diri sekiranya pemerintah melakukan kesilapan selepas ini.

“Pemerintah jika ada buat kesilapan, jangan kita diamkan sahaja, kita perlu beri nasihat dan teguran,” katanya ketika menyampaikan kuliah di sebuah masjid di sini semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN di negeri ini.

Pada masa sama, Beliau menambah, semua pihak perlu berhenti berbalah mengenai politik kerana tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak, sebaliknya  ia hanya merugikan sahaja.

“Menang atau kalah, sudah-sudahlah berbalah. Bersatulah atas nama agama Islam. Buanglah nafsu dan perasaan, kita bergabung sama-sama atas nama Islam, buang rasa malu akibat kalah,” ujarnya.

Katanya, rutin harian rakyat juga sudah kembali seperti biasa dan  rakyat tanpa mengira parti politik perlu bersatu dan bergabung tenaga untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjaga.

“Ada yang tanya, Pas menang dah 32-0 (sapu bersih semua 32 kerusi DUN, apa rakyat perlu buat sekarang?

“Jawapannya, kehidupan harian rakyat sudah kembali kepada rutin yang biasa dengan melakukan pekerjaan (sebelum ini).

“Sebagai rakyat, kita buat apa yang Allah suruh dan tugas pemerintah pula jaga kebajikan kita. Apa yang tak cukup, minta dengan pemerintah dan tugas kita, jaga hubungan dengan Allah,” katanya.

“Tak kira lah BN (Barisan Nasional) atau Pas, hentikan perbalahan. Cukup-cukuplah berpolitik, buatlah kerja dengan ikhlas dan betul demi agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya