ALOR SETAR: Meskipun dalam keadaan hujan, lebih 20,000 penduduk negeri ini tetap hadir memeriahkan Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Kedah pada pagi ini.
Orang ramai dilihat mula memenuhi kawasan itu sejak pukul 7 pagi dalam keadaan cuaca tidak menentu iaitu mendung serta hujan renyai sebelum disusuli hujan lebat.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat ke sambutan tersebut pada pukul 9.25 pagi.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan isteri serta tetamu kenamaan lain.
Sambutan dimulakan dengan istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Sallehuddin diikuti nyanyian lagu patriotik oleh Kumpulan Koir Wisma Darul Aman.
Ia disusuli istiadat perbarisan dan perarakan oleh 115 kontinjen pelbagai agensi, jabatan, institusi pendidikan, pasukan beruniform, syarikat swasta serta persatuan dan kelab melibatkan 3,700 peserta.
Semua peserta dilihat tetap bersemangat meskipun terpaksa berarak dan membuat persembahan dalam keadaan hujan.
Pengunjung, Nora Asyikin Zainuddin, 30, berkata, dia bersama dua anak lelakinya berusia tujuh dan 10 tahun tiba ke lokasi sambutan tersebut pada pukul 7 pagi tadi.
“Walaupun hujan, kami tiga beranak tetap datang memeriahkan sambutan peringkat negeri ini. Hujan sekejap lebat dan sekejap renyai, kami pakai baju hujan dan payung sepanjang program berlangsung.
“Hujan semakin lebat kira-kira pukul 11 pagi ini, namun masih ramai yang tidak berganjak dari dataran ini. Apalah sangat hujan jika nak dibandingkan dengan pengorbanan pejuang kemerdekaan kita suatu ketika dahulu,” katanya. –UTUSAN