GUA MUSANG: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di sini mahu kerajaan membina sebuah balai bomba bagi memastikan mereka tidak mengalami kerugian setiap kali berlakunya kebakaran atau kecemasan pada masa depan.
Peneroka Felda Chiku 5, Mohamad Zaib Mohamad, 60, berkata, ketiadaan kemudahan itu menyebabkan penduduk terpaksa menunggu bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang terletak lebih 40 kilometer dari kawasan perkampungan mereka.
“Balai Bomba dan Penyelamat yang ada terletak di bandar Gua Musang, mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke lokasi kebakaran bagi memadam kebakaran yang berlaku.
“Kedudukan balai bomba yang jauh menyukarkan kerja-kerja menyelamat dilakukan an kami menerima bantuan agak lambat kerana kedudukan kampung yang jauh dari kawasan bandar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi peneroka, Nik Ya Husein, 65, memberitahu, sebelum ini dia ada mendengar tentang cadangan pembinaan balai bomba di kawasan itu namun sehingga kini masih belum direalisasikan.
Katanya, kekerapan kes kecemasan di DUN Paloh membuatkan balai bomba di kawasan itu amat diperlukan.
“Kami bersyukur apabila menikmati kehidupan selesa apabila mendapat kemudahan seperti jalan, sekolah, klinik kesihatan dan bekalan elektrik.
“Kami berharap calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh yang baharu dapat membantu mewujudkan keperluan balai bomba,” katanya.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN Paloh daripada Barisan Nasional (BN), Amran Arifin mahu menyelesaikan masalah keperluan terutamanya balai bomba.
Katanya, pembinaan balai bomba baharu antara usaha yang masih belum selesai dan beliau mahu menyelesaikannya jika dipilih sebagai ADUN Paloh.
“Permohonan di peringkat akhir di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan difahamkan sudah juga diangkat kepada jabatan yang berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN