Raja Rozela bersara awal, digantikan Mohd. Dusuki  

DPP Raja Rozela bersara awal, digantikan Mohd. Dusuki  

IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan menggantikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Torn sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan teliti termasuk permohonannya untuk bersara awal berkuat kuasa 1 November ini.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, Raja Rozela telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April lalu dan telah diluluskan serta berkuat kuasa bermula 1 November.

Kata Idrus, beliau selanjutnya telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos ini.

“Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar telah dipilih sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baharu berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun beliau sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya. 

“Beliau ketika ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk laporan media bahawa Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dihadapi Ahmad Zahid, tidak lagi mengendalikan kes berkenaan.

Raja Rozela sebelum ini mengetuai pendakwaan yang mana Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Idrus berkata, memandangkan kes melibatkan Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga bulan Disember ini, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan itu.

“Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya