PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi jaminan tidak ada mana-mana media dikenakan tindakan sekatan bagi menyokong kebebasan media.
Beliau menjelaskan, ini termasuk meletakkan status ‘dua darjat’ antara media rasmi dengan media lain yang berdaftar di bawah Jabatan Penerangan.
Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan terbuka dan semua media berhak bertanya soalan kepadanya tanpa sekatan.
“Itu adalah jaminan dan pada masa sama kita tidak boleh benarkan kalau ada maklmat salah atau fitnah termasuk menyentuh aspek 3R untuk dimainkan mana-mana pihak.
“Walaupun ada kebebasan media, tetapi kita tidak bebas untuk fitnah atau menyebar maklumat salah,” katanya dalam sidang akhbar selepas selepas menghadiri pelancaran #DemiNegaraku & Home of Kids Campaigns anjuran Astro di sini hari ini.
Mengulas mengenai sekatan terhadap laman web TV Pertiwi, beliau memberitahu akan berhubung dan mendapatkan maklum balas dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Bagaimanapun, katanya, media berkenaan sedang dalam siasatan polis dan pihak SKMM secara prosedurnya tidak boleh memberikan sebarang komen memandangkan siasatan sedang berjalan.
“Jadi saya akan teliti perkara ini, sekiranya perlu kita minta SKMM beri penjelasan, tetapi sekiranya ada aspek penyiasatan, kita tidak akan masuk campur dan memberikan komen berlebihan,” katanya. – UTUSAN