PETALING JAYA: Pembangkang mempersoal Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung ucapan politiknya pada tahun lalu yang mahu ‘mencari’ Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, susulan skandal pegangan sahamnya sebelum ini.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sehingga kini tiada sebarang perkembangan berhubung ‘pencarian’ Azam sedangkan Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan bergabung bersama Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.
“Sekarang sudah jadi menteri, saya mahu tanya Rafizi, sudah jumpa Azam atau belum? Kenapa kes Rafizi tiba-tiba hilang daripada radar? Kenapa tiada apa-apa kemas kini mengenai siasatan ini?
“Adakah kes (Azam berhubung pegangan saham) ditutup selepas Rafizi jadi Menteri? Mula-mula saya pun pelik kenapa Rafizi mahu sangat cari Azam.
“Yang kita nampak, selepas Rafizi jadi Menteri, kontrak Azam pun disambung. Tapi, sudah pastilah puak ‘tatakelola wewenang’ ini tidak ada buat apa-apa perbincangan di belakang tabir.
“Mereka ini bersih dan suci. Sebab itu kita semua yakin mereka tak menipu,” katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.
Dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu pada 17 November tahun lalu, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR PH dilaporkan akan ‘mencari’ Azam ekoran isu pegangan sahamnya jika PH menang pilihan raya.
Ahli Parlimen Pandan itu yang berucap pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru berkata, SPRM mesti berdepan mahkamah terlebih dahulu kerana tindakan badan itu menyerbu syarikatnya, Invoke Solutions Sdn. Bhd.
“Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-Allah. Saya tahu Azam Baki tengok ini! Saya harap bila Pakatan Harapan menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu (Nasir Baki) sekali lagi,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Rafizi menafikan dakwaan mengugut Azam, sebaliknya ucapan itu hanya berbentuk political soundbytes bagi menguatkan ucapan politiknya.
Pada 2021, Azam berdepan kontroversi pemilikan hampir dua juta saham di sebuah syarikat tersenarai awam antara April 2015 dan Mac 2016 semasa berkhidmat sebagai Pengarah Siasatan SPRM.
Beliau telah menafikan melakukan kesalahan kerana saham berkenaan dibeli oleh adiknya dengan menggunakan nama Azam dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham berkenaan. – UTUSAN