KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, dinobat sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini.
Qari berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan berasal dari Kelantan itu memperoleh markah sebanyak 94.96 peratus.
Sara Belmamoun dari Maghribi pula dinobatkan sebagai johan tilawah kategori qariah.
Sementara itu, Omar Toure dari Guinea dan Tebani Cheyma Enfal dari Algeria dinobatkan sebagai johan bagi kategori hafazan lelaki dan wanita.
Keempat-empat mereka membawa pulang hadiah emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai, piala iringan dan sijil.
Hadiah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. – UTUSAN