Pusat mengundi suram, PH rayu orang ramai tunai tanggungjawab

Pusat mengundi suram, PH rayu orang ramai tunai tanggungjawab

MAHFUZ Omar dan isteri bersama dua anak mereka selesai membuang undi di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Hutan Kampung di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dalam tempoh berbaki kurang dua jam sebelum pusat pengundian ditutup hari ini, Pakatan Harapan (PH) Kedah merayu agar orang ramai segera menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, hasil pemerhatian mendapati pusat pengundian terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu suram sejak dibuka pada pukul 8 pagi tadi.

“Secara keseluruhan agak perlahan proses pengundi untuk keluar sejak pagi ini. Tapi bila hadir sebelah petang ini agak ramai. Mungkin sebahagian besar mengambil keputusan untuk keluar waktu petang seperti saya.

“Tapi pagi tadi apabila saya tanya di kebanyakan ketua tempat mengundi, mereka kata berbanding pukul 11 pagi pada pilihan raya umum, November lepas didapati lebih ramai pengundi yang sudah hadir pada waktu itu.

“Maka saya menyeru kepada pengundi yang masih belum keluar untuk ambil kesempatan ini, laksanakan tugas dan tanggungjawab kita. Siapa pilihan kita, parti apa dan calon mana pilihan kita itu terserah. Tetapi jangan abaikan dan sia-siakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pembuangan Undi Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin. Mahfuz hadir bersama isteri, Datin Ruswati Jaafar, 63, dan dua anak, Mujaheed, 39, dan Syahiidah, 36.

Menurut Mahfuz, beliau juga memilih untuk membuang undi pada pukul 2 petang kerana melakukan tugasan memantau di DUN Alor Mengkudu yang ditandingnya pada PRN kali ini.

“Saya ambil kesempatan sebelah pagi untuk pusing ke tempat pembuangan undi dalam DUN Alor Mengkudu sebab kini saya bertanding di luar tempat kebiasaan. Kalau dulu saya bertanding di Parlimen Pokok Sena, maka saya keluar mengundi dulu baru berjalan ke tempat pembuangan undi,” katanya.

Ketika ditanya tentang harapannya, kata Mahfuz, pihaknya masih melahirkan keyakinan bahawa PH dan Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN.

“Kalau sebelum ini saya kata 16 kerusi tetapi setakat semalam 17 kerusi (sudah dalam genggaman) meningkat satu kerusi. Jadi hanya dua kerusi sahaja lagi untuk kita kejar majoriti mudah.

“Diharapkan sentuhan terakhir yang kita buat semalam iaitu Grand Finale di Naka, Hutan Kampung dan Sungai Petani bersama Perdana Menteri akan memberikan mesej yang lebih jelas daripada pengundi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya