PTG Perak henti hantar bil cukai tanah mulai tahun depan - Utusan Malaysia

PTG Perak henti hantar bil cukai tanah mulai tahun depan

SAARANI Mohamad (tengah) pada perasmian Sambutan Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak tidak lagi mengeluarkan dan menghantar bil cukai tanah kepada pemilik tanah berdaftar mulai tahun depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebaliknya berkata, semakan dan bayaran cukai tanah boleh dilakukan melalui portal rasmi PTG Perak atau mendaftar sebagai pengguna malalui Portal Awam e-Tanah.

Katanya, menerusi portal berkenaan, semua sejarah urusan berkaitan tanah yang dimiliki akan disimpan dan boleh menjadi rujukan pada masa hadapan.

“Selaras dengan tema Sambutan Hari Tanah Negara pada hari ini, kita perlu mendalami istilah modenisasi apabila proses kerja berubah daripada manual kepada sistem.

“Penambahbaikan yang berterusan adalah perlu bagi memastikan capaian sistem e-Tanah yang digunakan dalam pentadbiran tanah negeri Perak mencapai tahap optimum,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Sambutan Hari Tanah Negara 2023 peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dan Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd. Zaki Mahyudin.

Menurut beliau, pelaksanaan kaedah terbaharu itu dilaksanakan dikesemua 12 buah PTG daerah di negeri ini.

Katanya, perubahan daripada jadual ke-14 kepada jadual ke-16 Kanun Tanah Negara itu, membuktikan Perak telah melangkah ke hadapan dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah dilaksanakan secara atas talian.

“Untuk permulaan, selain hebahan dilakukan melalui pelbagai media, kita juga minta pengerusi-pengerusi masjid menyampaikan maklumat tersebut kepada jemaah pada hari Jumaat.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai capaian internet mahupun orang lama yang tidak biasa dengan cara baharu ini, kita juga telah minta ketua kampung dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk bantu, begitu juga dengan pejabat wakil rakyat yang mempunyai capaian internet,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama beliau berkata, sistem e-Tanah yang diguna pakai di negeri ini sejak Februari 2021 telah membantu dalam meningkatkan perolehan kutipan cukai tanah.

“Kalau ikut dari segi kutipan cukai, berbanding tahun 2021 dan 2022, momentum kutipan cukai meningkat. Malah, untuk tahun ini sehingga Julai, kutipan cukai tanah juga meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Ini bermakna urusan atas talian yang dilaksanakan ini memudahkan urusan pengguna sekali gus menyuntik kepada pertambahan perolehan cukai,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, kira-kira 50,000 pemilik tanah telah mendaftar sebagai pengguna melalui aplikasi berkenaan berbanding jumlah sebenar di negeri ini iaitu lebih dua juta pemilik tanah berdaftar. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya