DENGKIL: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengakui tidak pandai ‘marketing’ (pemasaran) berbanding gergasi politik lain, sebaliknya hanya tahu memperjuangkan isu rakyat marhaen.
Timbalan Pengerusinya, S. Arutchelvan atau Arul berkata, PSM sejak dahulu ditubuhkan untuk memperjuang dan menyelesaikan isu rakyat dan bukannya berjanji kosong sahaja serta mahu menjadi sebuah parti popular.
Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berkata, ketika PSM mengumumkan untuk bertanding di Dengkil, penduduk menganggap PSM ini sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.
“Jika parti lain menubuhkan bilik gerakan selepas bertanding, PSM pula sudah buka bilik gerakan beberapa tahun sebelum buat keputusan untuk bertanding.
“Kami mendapati, pengundi lebih terdedah dengan sentimen untuk sokong parti besar dan popular berbanding parti yang suka membantu rakyat.
“Jika tanya wartawan, mereka lebih suka PSM kerana kami tahu buat kerja dan bantu rakyat di bawah sana kerana kami tak cakap kosong,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke rumah pangsa Taman Permata Dengkil, di sini hari ini.
Kisah jerih payah penduduk rumah pangsa Taman Permata Dengkil adalah antara bukti kejayaan kisah perjuangan PSM bagi membela penduduk mendapat kediaman lebih selesa.
Dalam pada itu, Arul berkata, PSM masuk Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai suara ketiga untuk mencelikkan mata rakyat selain mahu dikenali sebagai sebuah parti yang memperjuangkan isu-isu asas dihadapi rakyat.
Menurutnya, gandingan PSM dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada PRN kali ini terutama di 18 buah kerusi DUN adalah mahu memberi pilihan ketiga buat rakyat di Selangor.
“Memang tidak cukup (kerusi untuk membentuk kerajaan) tetapi kami mahu memberi pilihan ketiga kepada rakyat.
“Selepas ini, kita akan perkukuhkan kerjasama dan seterusnya memikirkan untuk meletakkan calon di semua 56 kerusi di Selangor pada pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN