DENGKIL: Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak ‘berkecil hati’ jika tidak mendapat tempat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, sebaliknya akan terus turun padang memperjuang nasib rakyat.
Timbalan Pengerusinya, S. Arutchelvan atau Arul berkata, beliau yakin PSM akan terus bertahan di negara ini dan sentiasa mendapat tempat di hati rakyat.
“Ketika ditubuhkan 25 tahun lalu, semua orang ingat PSM akan ‘mati’, namun, kita masih bertahan sehingga hari ini.
“PSM ditubuhkan berlandaskan ideologi dan parti ideologi susah nak mati dan kita bukannya bergerak atas sentimen,” katanya ketika ditemui selepas meninjau gerak kerja kempen calon PSM Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Darren Ong, semalam.
Katanya, beliau akui PSM kini sudah mula diintai oleh orang Melayu, malah sekitar 50 peratus daripada cabang belianya adalah terdiri daripada ahli Melayu.
Arul berkata, beliau melihat anak muda Melayu berminat dengan kisah perjuangan PSM iaitu membela dan menjaga kebajikan rakyat yang ditindas.
Menurutnya, PSM ketika ini mempunyai 3,000 aktivis yang kini mengendalikan 400 jawatankuasa kerja di mana struktur utamanya adalah memperjuang gerakan rakyat.
Mengulas kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Arul berkata, ahli MUDA juga tertarik dengan perjuangan PSM, malah mereka bersedia memperkukuh kerjasama pada masa depan.
“Kami turut merancang untuk mengadakan jelajah kempen besar-besaran bersama MUDA untuk baki tempoh kempen PRN ini,” katanya.
Bagi PRN Selangor kali ini, PSM mempertaruhkan Arul di DUN Kajang; Setiausaha Agung PSM, Sivarajan Arumugam (Kota Damansara); Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Sivaranjani Manickam (Meru) dan Darren Ong (Dengkil). – UTUSAN