SHAH ALAM: Bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, UMW Grantt International Sdn. Bhd. (UMW Grantt) menawarkan pelbagai promosi bagi pembelian minyak pelincir kereta kepada orang ramai sehingga 15 Oktober ini.
Pengarah Kumpulan bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman berkata, antara promosi yang diberikan pihaknya adalah potongan RM30 bagi setiap pembelian minyak pelincir kereta jenama tersebut.
“Kita telah mengagihkan dan sekiranya masih ada baucar lagi, orang ramai boleh mendapatkannya di Pusat Servis Kereta Maxipura (Maxipura) di Seksyen 13, Shah Alam.
“Mereka boleh menggunakan baucar tersebut sehingga 25 September ini dan baucar ini hanya boleh dipakai di Maxipura sahaja,” katanya semasa pelancaran program Semarak Merdeka di sini, Sabtu lalu.
Selain pemberian baucar itu menurutnya, setiap pelanggan berpeluang untuk mendapatkan beberapa cenderahati seperti beg sandang, beg pouch dan beg bertali dengan pembelian minyak pelincir Grantt Stellar 8000 (sintetik penuh), Grant Stellar 5000 (separa sintetik) dan Grantt Stellar 1000 (mineral).
Kata Anas Nasrun, cenderahati ini boleh didapati di pengedar-pengedar sah minyak pelincir Grantt, aplikasi Shoppe dan Lazada sehingga 15 Oktober ini, sementara stok masih ada.
“Minyak pelincir ini adalah setanding atau lebih baik daripada beberapa minyak pelincir keluaran syarikat antarabangsa dengan harga mampu milik.
“Malah, ia mendapat pengiktirafan daripada “American Petroleum Institute (API)” serta beberapa badan antarabangsa dan ia sesuai digunakan untuk semua jenis kereta,” tegasnya.
Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya merebut semua promosi yang ditawarkan pihaknya sepanjang program Semarak Merdeka kerana mereka dapat memperoleh penjimatan dengan pembelian setiap botol.
Sementara itu, Pengarah Urusan Maxipura Automotive Expert, Zuraiman Baharum berkata, beberapa pelanggan telah menebus baucar tersebut bagi membeli minyak pelincir Grantt, sejak Sabtu lalu.
Menurutnya, beliau yakin ramai penerima baucar itu akan menebus baucar berkenaan sebelum 25 September ini bagi mencuba sendiri minyak pelincir berkenaan.
“Saya sendiri menggunakan minyak pelincir Grantt dan akui minyak ini memberikan prestasi yang baik kepada kereta saya, setanding dengan jenama lain.
“Baucar tinggal beberapa keping sahaja dan saya harap orang ramai akan datang ke Maxipura untuk mendapatkan baucar ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelancaran program Semarak Merdeka berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 300 orang pengunjung dan juga pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ke-36, Bell Ngasri sebagai pengacara majlis serta pempengaruh media sosial, Abang Gan atau Pandu Laju.
Program tersebut dijalankan bagi memupuk semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan serta tempat kediaman mereka. – UTUSAN