MIRI: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya Disember tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Jelasnya, sehingga ke hari ini pembinaan lebuhraya tersebut telah siap 96.6 peratus.
“Secara keseluruhannya Lebuhraya Pan Borneo ini telah siap 96.6% dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.
“Apabila siapnya Lebuhraya ini kelak, ia sekali gus akan membawa impak yang positif kepada rakyat di Sarawak dari segi sosio ekonomi, kehidupan dan perjalanan darat di sepanjang jalan raya di negeri ini,” katanya ketika ditemui media petang tadi.
Beliau berkata demikian semasa lawatannya ke tapak Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sempena Jelajah Eksplorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Jejambat Bekenu petang tadi.
Uggah pada masa yang sama tidak menafikan kontraktor berdepan kelewatan siap projek lebuhraya tersebut akibat pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun kontraktor telah berjaya menyiapkan dalam tempoh yang mencabar terutamanya semasa pandemik Covid-19 melanda.
“Tetapi, sekarang kita telah dapat melihat perkembangan Pan Borneo ini sendiri dengan usaha yang dilakukan bersama pihak kerajaan dan kontraktor yang bertanggungjawab, jelasnya lagi.
Uggah yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak mendedahkan, pihaknya telah diberi taklimat mengenai strategi untuk menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan dan melihat kawasan yang perlu dibaiki untuk persediaan kedatangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Lebuhraya Pan Borneo bulan hadapan.
“Kita telah pergi seluruh Lebuhraya Pan Borneo dan ia memang pengalaman menarik. Kita nampak apa yang telah siap dan belum siap.
“Justeru itu, kita diberi taklimat mengenai strategi untuk memastikan yang belum siap akan disiapkan mengikut jadual yang mereka tentukan. Pada masa sama kita melihat mana-mana tempat yang perlu dibaiki.
“Difahamkan juga Yang di-Pertuan Agong akan ke Lebuhraya Pan Borneo dijangka pada bulan hadapan. Jadi kita hendak memastikan kawasan yang perlu dibaiki akan dinaik taraf,” tambahnya lagi.
Sehingga ke hari ini, antara kawasan yang belum siap sepenuhnya adalah Lambir, Sri Aman, Bukit Begunan, Lupong dan Sarikei.-UTUSAN