ROMPIN: Projek biogas diperkenal Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Kilang Sawit Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dijangka mampu menjana kira-kira 14.8 juta Kilowatt-jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghasilan tenaga itu mampu memberi peluang kepada 3,000 isi rumah atau secara purata sekitar 15,000 pengguna akses kepada tenaga elektrik yang baik sekali gus mendapatkan persekitaran lebih selesa dan memudahkan kehidupan seharian.
Katanya, projek terbabit juga dilihat mampu merubah landskap ekonomi sekali gus memberi impak positif terhadap alam sekitar dan kehidupan sosial khususnya kepada komuniti desa.
“Penghasilan tenaga sebesar ini berupaya menyelesaikan masalah akses bekalan elektrik bagi sebahagian kawasan di desa dan pedalaman. Mereka yang selama ini terjejas, kini berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.
“Inisiatif ini tidak hanya menjadikan sumber tenaga lebih lestari, tetapi membuka pintu ke arah pembangunan yang lebih inklusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Risda, Ulu Keratong, di sini, semalam.
Yang hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Risda, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi Eksekutif Alliance Concord Green (ACG) Sdn.Bhd., Tan Sri Mohd. Hussin Abd Hamid.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek terbabit adalah inisiatif KKDW melalui Risda sebagai solusi menguruskan alam sekitar di pendesaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa secara menyeluruh dan berkesan demi mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon menjelang tahun 2040.
“Projek Biogas dari sisa POME (sisa akhir efluen kelapa sawit) ini bukan sekadar membawa manfaat ekonomi dan alam sekitar, tetapi membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga dari sumber bahan api fosil yang menghasilkan pelepasan karbon tinggi.
“Dalam konteks projek biogas ini, sisa atau bahan buangan diubah menjadi sumber mempunyai nilai ekonomi untuk manfaat masyarakat.
“Ia juga menjadi langkah penting untuk mencapai sasaran negara ke arah penghasilan 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang menjelang 2035,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan projek melalui proses rawatan sisa perahan minyak kelapa sawit itu mampu menjana kelestarian alam sekitar dengan pengurangan sekitar 72,000 tan karbon dioksida setahun.
“Usahasama ini dapat mengintegrasikan kepakaran dan penggunaan pelbagai sumber yang cekap antara kedua-dua pihak, demi mencapai matlamat kelestarian desa yang ditetapkan.
“Selain memacu aspirasi, projek ini adalah sebahagian daripada program Waste to Wealth atau penukaran sisa kepada pendapatan, bagi membangunkan ekonomi mampan dan lestari di bawah teras pembangunan Kementerian,” ujarnya.
Katanya, sejajar dengan pelaksanaan projek itu juga, masyarakat desa berpotensi menerima pelbagai manfaat ekonomi dan ekologi.
“Secara amnya, proses ini bermula dari akses kepada penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan kemudahan prasarana asas dan bekalan tenaga alternatif sehingga kepada peningkatan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Projek terbabit juga kata beliau, mampu memenuhi piawaian antarabangsa Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia untuk manfaat pekebun-pekebun kecil sawit di bawah Risda khususnya.
“Risda, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menerima manfaat melalui perkongsian pendapatan dan sewaan tanah. Ini adalah satu kemenangan bersama kepada semua pihak yang terlibat.
“Projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda dengan kemahiran khusus dan bersifat jangka panjang,” katanya. – UTUSAN