PETALING JAYA: Program Pertanian Bandar dan Gotong-Royong Muhibbah anjuran Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bertujuan membantu penduduk Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) menambah baik kualiti hidup melalui program pertanian dan gotong-royong yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
PPZ MAIWP dalam kenyataan memaklumkan, program itu berlangsung di Kebun Kejiranan Bandar KRT Seri Perlis 2 dan Kebun Bandar Sungai Bunus.
Kata kenyataan itu, ia bertujuan membina rangkaian sinergi bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora, University Poly-Tech Malaysia (UPTM), Jabatan Pertanian dan sebagainya bagi menjadikan Kuala Lumpur bandar lestari melalui aktiviti penanaman anak pokok yang akan dijaga dan dipelihara oleh penduduk sekitar.
“Ia sekali gus dapat membantu meningkat ekonomi dalam kalangan penduduk setempat dan hasil daripada tanaman ini akan dijual secara komersial dengan harga yang berpatutan.
“Secara tidak langsung dapat menonjolkan imej PPZ-MAIWP yang bukan sahaja mengutamakan kutipan zakat, malah turut prihatin dan cakna akan alam sekitar dan komuniti setempat,” kata kenyataan itu hari ini.
Pada hari ini juga, PPZ-MAIWP turut menyerahkan sumbangan kepada 100 asnaf terdiri daripada tukang kebun dan pekerja sektor kebersihan Jabatan Perumahan DBKL dan Alam Flora serta kelengkapan pertanian dan gotong-royong dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM44,033.
Kata kenyataan itu, program itu turut menyaksikan sebanyak 10 syarikat sub-kontraktor dan syarikat pembekal pokok dan baja menunaikan zakat perniagaan sebagai galakan untuk mula menunaikan kewajipan rukun Islam.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan turut hadir, Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Ismail Ngah; Penasihat Jawatankuasa KRT Perumahan Awam Seri Perlis 2, Datuk Dr. Elli Mohd Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman. – UTUSAN