TASEK GELUGOR: Rata-rata pengundi warga emas dan belia tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas berbuat demikian pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) tahun lalu.
Bagi Muhd. Shafaiz Saad, 29 dari Kampung Lahar Tambun di sini, berkata, dia bersama ibunya Yom Yaacob, 66, tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya, di sini seawal pukul 7.30 pagi dan menjadi antara yang terawal mengundi.
“Rasa teruja dapat keluar mengundi buat kali kedua lebih-lebih lagi bersama ibu. Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun begitu membantu dan perjalanan proses mengundi juga terkawal,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.
Dia yang merupakan pekerja swasta turut menyeru golongan belia membuat keputusan dengan bijak iaitu memilih wakil rakyat yang berkeupayaan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, Yom berkata, dia yang sudah lima kali mengundi mengharapkan wakil rakyat yang berjaya akan melaksanakan amanah seperti yang dijanjikan sepanjang tempoh berkempen.
Sementara itu, seorang pengundi warga emas, Ismail Din, 80, dari Pokok Tampang, di sini, berkata, meskipun uzur, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk melaksanakan kewajipannya sebagai rakyat yang bertanggungjawab.
“Walaupun kaki tak berapa nak kuat, tapi saya tetap gagahkan diri untuk ke pusat mengundi ini bersama anak. Yang penting tanggungjawab sebagai rakyat saya telah laksanakan hari ini,” katanya.
Terdahulu, calon gabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman turut mengundi di sekolah berkenaan pukul 8.30 pagi.
Katanya, dia berpuas hati dengan perjalanan dan proses mengundi di situ dan berharap penduduk Permatang Berangan khususnya keluar mengundi awal hari ini.
DUN Permatang Berangan menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Nor Hafizah yang dalam percubaan mempertahankan kerusi disandangnya itu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Sobri Saleh (Pas) dengan jumlah pengundi seramai 28,519 orang. – UTUSAN