PRN: Wan Azizah tingkat keyakinan Johari tawan DUN Seberang Jaya - Utusan Malaysia

PRN: Wan Azizah tingkat keyakinan Johari tawan DUN Seberang Jaya

CALON gabungan PH-BN, Johari Kassim (kiri) bersama Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada program Bicara Santai Usahawanita dan Wanita Bersama isteri Perdana Menteri di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Calon gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Johari Kassim optimis dengan sokongan pengundi terhadapnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Kata calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, keyakinan tersebut berdasarkan semangat dan sokongan pengundi yang dilihat semakin meningkat sepanjang sepanjang dua minggu beliau berkempen.

“Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), kita lawan tiga penjuru tapi kita cuma kalah 30 undi, namun kali ini sokongan Barisan Nasional (BN) dan undi awal juga dilihat menyebelahi kita.

“Sudah semestinya kita dapat atasi jumlah lama, apatah lagi anak-anak muda kini semakin beralih daripada Perikatan Nasional (PN) ke PH-BN.

“Peningkatannya begitu baik, lebih daripada 20 peratus pengundi telah berubah balik kepada PH-BN dan ini memberi keyakinan kepada kami untuk beroleh kemenangan di Seberang Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Bicara Santai Usahawanita dan Wanita Bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Tambahnya, kehadiran Wan Azizah menguatkan lagi semangatnya dalam pecutan terakhir sebelum aktiviti kempen tamat pukul 12 tengah malam ini.

“Kak Wan (Wan Azizah) beri semangat kepada saya untuk kita pastikan Seberang Jaya menjadi milik PH dan Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita dapat menangkan kesemua tiga DUN iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti di Permatang Pauh, insya-Allah kita akan tawan semula Parlimen ini pada PRU-16 nanti sebagai hadiah untuk PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita,” katanya.

Sementara itu Wan Azizah berharap semua pengundi akan menunaikan tanggungjawab dan memilih calon gabungan PH-BN berkenaan, esok.

“Kita perlu sama-sama bangun dan beri kekuatan kepada Parlimen Permatang Pauh dengan pastikan kemenangan berpihak kepada PH.

“Kemenangan ini akan memberi kekuatan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali gus mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya