KUALA TERENGGANU : Undi anggota keselamatan dilihat turut beralih arah dengan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, semalam.
Menurut sumber, undi awal yang diterima dari sebuah kem tentera di sebuah daerah di negeri ini jelas menyatakan sokongan kepada PN dengan undian kira-kira 77 peratus.
“Hanya 23 peratus undi awal masih diberi kepada kerajaan perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Selama ini, kem tentera atau kuaters polis sering dianggap kubu kuat kerajaan pemerintah sebagai kawasan ‘safe deposit’, malangnya situasi itu tidak berlaku di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Dalam PRN yang berlangsung semalam, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dengan majoriti yang jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Malah, Datuk Ahmad Amzad Hashim juga berjaya mengekalkan kemenangannya dengan majoriti lebih banyak berbanding PRU-15 tahun lalu.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, undian di beberapa kem tentera lain juga menunjukkan trend yang sama di seluruh negara.
“Malah, di saluran satu pun, undi lebih banyak diberi kepada PN. Ini adalah signal penting untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari puncanya dan segera buat penambahbaikan.
“Pasti ada sebab peralihan undi pos ini begitu ketara berbeza berbanding apa yang diterima pada PRU-14 yang lalu,” katanya. – UTUSAN