BUTTERWORTH: Kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang disifatkan sebagai ujian pertama bagi pakatan itu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ujian yang merujuk kepada keserasian dalam pembentukan kerajaan Madani di bawah pakatan yang sama telah pun diterjemahkan di peringkat nasional sekali gus diteruskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Keserasian ini sangat penting kerana ini adalah ujian pertama (Pulau Pinang) selepas lapan bulan kita membentuk kerajaan Madani, Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
“Ini adalah ujian sebelum pembentukan secara rasmi kerajaan Madani di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Hari Terbuka Agropelancongan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Jeti Pengkalan Machang, Sungai Dua, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, keserasian yang dimaksudkan itu bukan hanya dalam kalangan pemimpin di peringkat nasional dan Parlimen, tetapi berakar umbi di peringkat DUN dan peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Ini adalah merupakan acuan yang telah diterapkan oleh kepimpinan BN dan PH dalam beberapa Mesyuarat Penyelarasan Majlis Kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan saya berterima kasih kerana ia turut diterjemahkan di peringkat akar umbi,” katanya.
Tambahnya, gambaran keserasian tersebut begitu berbeza dengan apa yang diterjemahkan oleh blok Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan tiada keserasian antara parti komponennya.
“Berbeza dengan PN, mereka ada Pas, ada Bersatu tetapi pemimpin utama, Presiden Parti Gerakan (Datuk Dr. Dominic Lau) telah tidak dibenarkan (terlibat) dalam majlis kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) anjuran PN.
“Ini memberikan gambaran tidak ada keserasian dalam kalangan mereka, tidak terdapat penyatuan jentera, malah pada hemat saya, Gerakan harus sedar mereka sebenarnya menjadi tunggangan ataupun Gerakan hanya menunggang PN.
“Dan ini harus diketahui apabila ‘chemistry’ (keserasian) itu telah wujud sekian lama dalam kalangan kami (BN-PH), ertinya ia bukan artificial (dibuat-buat), ia adalah sesuatu authentic (benar) atau genuine (tulus) yang dapat kita laksanakan (kerjasama),” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan dua bot pelancong kepada Koperasi Nelayan Sungai Pengkalan Machang Seberang Perai Berhad dan Koperasi Nelayan Sungai Korok/Air Itam Seberang Perai Berhad bagi tujuan mempromosi agropelancongan masyarakat luar bandar di Jeti Pengkalan Machang, Sungai Dua. – UTUSAN