PRN: Tiada cuti khas jika PH-BN menang di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: Tiada cuti khas jika PH-BN menang di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow berswafoto bersama petugas media selepas selesai mengundi di SJKC Hu Yew Seah, Jalan Madras, George Town, Pulau Pinang kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Tiada cuti khas di Pulau Pinang sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian cuti itu tidak akan dilaksanakan walaupun PH yakin mampu memenangi sehingga 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri.

“Saya tidak bercadang untuk memberi cuti khas sekiranya gabungan PH-BN menang di Pulau Pinang.

“Walaupun kita yakin akan memenangi 30 daripada 40 kerusi pada kali ini untuk membentuk kerajaan, pemberian cuti tidak akan diberikan,” katanya selepas melawat beberapa pusat mengundi di sekitar DUN Padang Kota, di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga calon gabungan PH-BN bagi kerusi DUN Padang Kota mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hu Yew Seah, Jalan Madras, di sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu mengumumkan cuti peristiwa esok sempena PRN, manakala Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan cuti peristiwa esok sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan.

Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor turut mengumumkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan PH-BN memenangi PRN.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, bagi mencapai sasaran gabungan PH-BN menang di 30 kerusi DUN, terdapat beberapa faktor perlu dipertimbangkan antara kadar peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau bersyukur kerana kempen PRN telah diselesaikan semalam tanpa berlaku insiden tidak diingini.

”Ini menunjukkan semua calon dan parti yang bertanding termasuk jentera serta orang awam telah mengamalkan semangat yang baik bagi memastikan kempen berlangsung dengan aman dan harmoni,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya