PRN: Sivaranjani PSM isytihar harta RM368,916 - Utusan Malaysia

PRN: Sivaranjani PSM isytihar harta RM368,916

PSM isytihar harta
M. Sivaranjani menunjukkan senarai aset harta miliknya pada sidang akhbarnya di pejabat PSM, Kapar di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Meru, M. Sivaranjani tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai keseluruhan sebanyak RM368,916 hari ini.

Beliau menerusi akuan berkanun itu berkata, nilai aset bersih miliknya kini berjumlah RM287,916 dengan baki hutang RM81,000 setakat 26 Julai lalu.

“Akuan bersumpah itu dibuat selaras syarat yang ditetapkan oleh parti itu sebagai calon PSM.

“Seorang lagi calon lain di Selangor juga telah membuat akuan itu iaitu calon DUN Dengkil, Darren Ong Chung Lee,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PSM, hari ini.

Sivaranjani menambah, dua lagi calon PSM iaitu di DUN Kota Damansara, A. Sivarajan dan DUN Kajang, S. Arutchelvan dijangka turut membuat akuan berkanun dalam masa terdekat.

Kata Ahli Jawatankuasa Pusat dan Ketua Biro Pekerja PSM itu, pengisytiharan harta berkenaan dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

“Sebagai pengurus sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM8,320.

“Inilah pendapatan yang saya ada demi khidmat kepada rakyat dan bukan menjadi calon yang menang untuk mengumpul harta,” ujarnya.

Sehubungan itu, Sivarajani meminta semua calon bertanding terutama di DUN Meru turut membuat pengisytiharan harta supaya rakyat dapat mengetahui kemampuan seseorang calon bertanding.

Kerusi DUN Meru menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Sivarajani, Mariam Abdul Rashid (PH) dan Hasnizam Adham (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya