BESUT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap peluang parti-parti yang bertanding untuk menang dalam pilihan raya negeri (PRN) masih terbuka selepas kempen memasuki hari ke empat hari ini.
Beliau berkata, parti-parti terlibat juga tidak boleh mendakwa bakal menyapu bersih dan mendapat kemenangan besar dalam PRN pada 12 Ogos ini.
Sehubungan itu, katanya, semua calon yang bertanding masih mempunyai peluang melakukan kejutan walaupun pada peringkat awal calon tersebut dilihat tidak peluang memenanginya.
“Setiap parti yang bertanding mempunyai kepercayaan mereka boleh menang. Jadi siapa-siapa pun yang bertanding, walaupun ‘underdog’ tetapi peluang (menang) sama sahaja.
“Yang pentingnya, bagaimana usaha dilakukan untuk mencapai kemenangan. Hari ini saya lihat ramai jentera Barisan Nasional (BN) ada di sini,” katanya ketika ditemui selepas Kenduri Rakyat Terengganu di Seberang Jertih, di sini, hari ini.
Turut hadir, bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, jentera BN perlu bekerja keras sehingga hari mengundi untuk mencapai kemenangan dalam PRN ini.
Katanya, beliau juga mendoakan BN dapat memenangi di enam negeri yang bertanding nanti.
“Jadi kita mesti bekerja keras sehinggalah diumumkan siapa yang menang, bekerja (sampai) garisan penamat. Jadi saya doakan BN menang,” ujarnya.
Ditanya mengenai keyakinan pemimpin Pas memenangi kesemua 32 DUN di Terengganu, Ismail Sabri berkata, BN juga kata boleh menang dan menyasarkan dapat membentuk kerajaan negeri.
“Pas kata dia menang 32 DUN. BN pun kata boleh menang, cuma saya tak tahu berapa yang disasarkan oleh UMNO Terengganu. Setiap parti yang bertanding akan menyasar dapat membentuk kerajaan,” katanya. – UTUSAN