GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat yang mana Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini adalah medan untuk rakyat menyelamatkan negeri-negeri tersebut daripada kerosakan.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, rakyat tidak boleh memberi isyarat untuk membenarkan kerosakan itu berlaku dengan memberi undi kepada gabungan selain Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
”PRN ini selamatkan negeri kita, jangan bagi ‘signal’, Melayu, Cina, India, jangan abaikan hak anda (mengundi).
”Anda putuskan macam mana nak jadi negara, kalau main-main dengan undi, mereka (pembangkang) menang rosak negara,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu, Air Itam, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.
Anwar berkata, rakyat tidak boleh tertipu lagi dengan janji-janji yang dibuat pembangkang yang pada hakikatnya tidak dapat dilaksanakan.
”Tengok masalah air di Kelantan, kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah, Jana Wibawa (rasuah), ini semua berlaku dan bila mereka disiasat mereka kata PM zalim,” katanya.
Anwar menambah, beliau akan menggunakan kuasa yang ada sebaik mungkin untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka.
“Saya tidak janji syurga, selalu depa (mereka) janji, dan saya tak kata neraka kalau tidak sokong, tapi saya janji akan buat sebaiknya. Saya akan gunakan kuasa sebaik mungkin, saya bukan muda lagi, tetapi saya nampak muda dan tenaga juga muda.
”Jadi kita mesti pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga pilihan raya akan datang. Saya mahu Pulau Pinang, Kedah dan semua negeri yang ada PRN bagi sokongan kepada calon kita (PH-BN),” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, dengan sambutan hebat yang diterima daripada pengundi-pengundi termasuk di kawasan Flat Kampung Melayu di sini, beliau yakin Pulau Pinang akan menjadi negeri termaju yang berani membawa perubahan.
”Kita kena pastikan kita menang dengan lebih bergaya dan dengan majoriti lebih baik agar kita mempunyai kerajaan yang lebih stabil untuk anak muda,” katanya. – UTUSAN