KUALA SELANGOR: Semua sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan sedang dalam keadaan siap siaga untuk digunakan kemudahannya termasuklah ketika berdepan cuaca buruk dan banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua taklimat mengenai perkara itu sudah diberikan pihaknya kepada pihak berkaitan, malah ia merupakan pengalaman biasa dalam pilihan raya seperti sebelum ini dan bukannya kali pertama.
“Kita setakat ini memang tidak mempunyai sebarang masalah mengenai perkara itu (pusat mengundi).
“Semua sekolah kini bersedia 100 peratus menjelang hari pengundian nanti,” katanya ketika ditemui pada program Ceramah Kelompok PH-BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Kampung Harmoni, Ijok di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Fadhlina memaklumkan sekolah terlibat secara umumnya bersedia dari segi fizikal dan kemudahan.
Selepas pembubaran DUN dilakukan, Kementerian Pendidikan secara automatiknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyediakan sebarang keperluan.
Dalam pada itu, kata Fadhlina, jumlah pusat pengundian di sekolah semestinya melebihi 100 buah.
“Saya tidak ingat jumlah itu namun ia memang banyak,” ujarnya. – UTUSAN