DENGKIL: “Saya bergaji seorang profesor pun tidak mampu beli rumah di sini,” kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N55 Dengkil, Darren Ong.
Darren yang juga profesor matematik di Xiamen University Malaysia mengakui beliau sendiri tidak mampu memiliki rumah di kawasan ini apatah lagi penduduk setempat disebabkan harganya yang tinggi.
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dengkil itu berkata, biarpun banyak projek perumahan dibina di kawasan ini, namun ia tidak mampu dimiliki penduduk setempat.
“Bayangkan, rumah teres dua tingkat di sini boleh mencecah sehingga RM800,000 seunit. Ia langsung tidak masuk akal.
“Saya tertanya-tanya juga adakah rumah ini dibina untuk pelabur kaya atau pelabur asing sedangkan masih ramai penduduk yang tidak memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika melancarkan manifestonya di sini, hari ini.
Katanya, jika dipilih sebagai wakil rakyat di sini, beliau sudah menyediakan ‘formula’ bagi memastikan penduduk setempat mampu memiliki kediaman sendiri.
Darren berkata, dasar perumahan seharusnya memihak kepada penduduk setempat bukannya mengayakan pelabur asing dan pemaju perumahan.
Menurutnya, beliau difahamkan, penduduk setempat di sini hanya mampu membeli kediaman bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000.
“Kerajaan negeri seharusnya membina lebih banyak rumah mampu milik kerana rakyat juga mempunyai hak untuk memiliki kediaman yang selesa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebarang projek perumahan baharu di kawasan ini perlu mengambil kira sistem pengaliran air yang sempurna bagi mengelak banjir kilat.
“Pembangunan yang tidak terkawal selain mengabaikan sistem saliran air juga boleh menyekat pengaliran air dan mengakibatkan banjir kilat,” katanya.
Justeru, katanya, beliau mahu kerajaan negeri mengetatkan syarat Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi setiap projek perumahan baharu. – UTUSAN