PRN: Saling jumpa, kerjasama kukuh keserasian BN-PH - Utusan Malaysia

PRN: Saling jumpa, kerjasama kukuh keserasian BN-PH

CALON BN kerusi DUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman (tengah) ketika turun berkempen bertemu pengundi di kawasan itu sempena PRN Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kekerapan mengadakan pertemuan dan kerjasama sesama jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengukuhkan keserasian gabungan kedua-dua parti sekali gus memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan yang juga penyandang kerusi itu, Nor Hafizah Othman berkata, rakan parti komponen seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP juga komited memberi sokongan dan kerjasama sepanjang kempen beliau di kawasan DUN tersebut.

“Saya yakin keserasian itu sudah ada. Kita pun dah adakan pertemuan beberapa kali sebelum ini di mana mereka (ada) yang tetapkan (jadual kempen) dan bantu kumpulkan penyokong-penyokong untuk saya bertemu sendiri dengan mereka.

“Malah, sampai lewat malam pun rakan-rakan daripada PH termasuk jentera wanita PKR, Amanah dan DAP ikut saya ke akar umbi, turun ke bilik-bilik gerakan dan ke kawasan tumpuan yang kita tetapkan dalam jadual,” katanya ketika ditemui sewaktu berkempen bertemu pengundi di sekitar Permatang Berangan di sini, baru-baru ini.

Nor Hafizah yang juga Ketua Wanita UMNO negeri berkata, kerjasama tersebut turut melibatkan usaha meraih undi bukan Melayu yang disifatkan penting meskipun merupakan kumpulan pengundi minoriti di DUN terbabit.

“Wanita DAP turut membantu dari segi meraih undi bukan Melayu. Walaupun minoriti tapi satu undi tetap penting.

“Malah, saya juga sempat bertemu dengan kumpulan kecil dan kelompok baharu yang sebelum ini saya rasa tidak memberi sokongan kepada BN, tapi kali ini nampak maklum balas positif dan kita harap sokongan yang sama akan dibawa pada hari pengundian kelak,” katanya.

Ditanya cabaran untuk meyakinkan pengundi PH yang sebelum ini berada di pihak lawan, Nor Hafizah mengakui mengambil sedikit masa untuk memberikan penjelasan dan kefahaman mengenai Kerajaan Perpaduan dengan lebih terperinci.

“Sepanjang kempen lebih seminggu ini, respon yang diterima adalah positif meskipun ada beberapa pihak yang mungkin tidak faham dengan situasi Kerajaan Perpaduan.

DUN Permatang Berangan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nor Hafizah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Sobri Saleh (Pas) dengan jumlah pengundi seramai 28,519 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya